Saturday, 26 May 2018

JENIS TANAH GERSANG TERBIAR

Tanah dianggap terbiar atau mati jika ia dalam keadaan gersang yakni tiada pengairan. Kawasan berpaya atau ditenggelami air juga dikira tanah gersang, selain tanah tidak sesuai untuk tumbuhan. Tanah yang terletak jauh daripada penempatan penduduk juga termasuk tanah gersang.

Selain itu, tanah gersang juga adalah tanah yang tidak termasuk dalam kawasan simpanan penempatan bagi kegunaan masyarakat setempat seperti bagi tujuan padang ragut, tempat mencari kayu api dan tempat melakukan riadah. 

Bagaimanapun, ada perselisihan pendapat dalam undang-undang Islam sama ada keizinan pemerintah diperlukan sebelum seseorang itu memulakan penerokaan di tanah gersang. 

Pendapat Imam Abu Hanifah, pengasas mazhab Hanafi menyatakan keizinan diperlukan. Dua ulama utama mazhab Hanafi iaitu Abu Yusuf dan Hassan al- Syaibani serta mazhab Al-Syafie berpendapat sebaliknya. 

Pendapat ketiga yang juga pendapat mazhab Maliki menyatakan izin diperlukan, jika tanah itu terletak hampir dengan kawasan penempatan. Hal ini kerana tanah yang sedemikian ditakuti termasuk dalam kawasan simpanan awam. 

Jadi, bagi memastikan tidak berlaku pencerobohan di kawasan itu, izin daripada pihak kerajaan diperlukan. 

Di Malaysia, pihak yang hendak memulakan projek pertanian boleh memohon untuk mendapatkan lesen menduduki sementara (tol) daripada pihak berkuasa negeri atau terus memohon hak milik. 

Peraturan sepatutnya memastikan agar pemilik tanah atau pihak yang mendapat Tol mengusahakan tanah itu bagi tujuan pertanian. Pengusaha itu tidak sepatutnya membiarkannya terbiar begitu saja selepas diberikan lesen atau hak milik oleh pihak berkenaan seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang Islam.

Tanah mesti dimanfaatkan sepenuhnya. Dalam sebuah hadis, Rasulullah diriwayatkan sebagai berkata maksudnya: "Sesiapa yang memiliki tanah, hendaklah dia mengusahakannya, namun jika dia tidak berupaya melakukannya, maka hendaklah diberikan kepada saudaranya (supaya diusahakan) dan janganlah dia menyewakannya." (Hadis riwayat Abu Daud) 

No comments:

Post a Comment