Friday 18 June 2021

PANDANGAN ULAMA TENTANG HUKUM BERKAITAN MUZIK

 
Islam agama yang meraikan kepelbagaian fitrah manusia. Berbeza dengan agama-agama lain, Islam menolak sesuatu yang jauh daripada fitrah, juga sesuatu yang bersifat mengongkong penganutnya. 

Dalam konteks individu, sebagai contoh Islam menolak rahbaniah bahkan menganjurkan pelaksanaan ibadat dalam bentuk wasatiah, iaitu seperti menggalakkan seseorang berbuka apabila berpuasa, berkahwin dan tidak meninggalkan tidur dalam beribadat.

Justeru itu, fitrah manusia yang lainnya seperti kemuyulan untuk suka kepada kecantikan diraikan oleh Islam sama sekali. 

Kecantikan dan keindahan yang dikecapi oleh pancaindera sama ada melalui penglihatan mahupun pendengaran dan selainnya menjadi perkara yang diharuskan oleh Islam selagimana sejajar dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Pemilik Segala Kecantikan.

Menikmati keindahan, kecantikan dan hiburan yang dibolehkan sebenarnya mampu merehatkan jiwa, menenangkan hati, menyedapkan pendengaran. Hiburan yang dibolehkan juga mampu menyebarkan perasaan gembira terutama di majlis-majlis keraian. 

Secara umumnya, terdapat 3 golongan masyarakat yang berbeza pendapat tentang keharusan lagu dan muzik; pertama adalah mereka yang membuka pintu yang luas untuk semua jenis hiburan dan lagu dan menganggap lagu dan muzik merupakan suatu bentuk keindahan dalam hidup yang dibenarkan oleh Allah untuk hamba-hamba-Nya.

Kedua, golongan yang mutasyaddid, menutup terus ruang-ruang untuk berhibur terutama apabila hiburan tersebut disampaikan oleh golongan wanita kerana mereka mendakwa suara wanita adalah aurat, apatah lagi dengan nyanyian-nyanyian itu sendiri? 

Ketiga, golongan yang duduk antara dua golongan yang sebelumnya, masyarakat yang menanti jawapan daripada golongan fuqaha’ dan ulama’ berkaitan perkara yang berhubung dengan kehidupan mereka seharian lebih-lebih lagi apabila radio sudah masuk ke rumah-rumah mereka. 

Bagi golongan yang mengharamkan terus hiburan, nyanyian mahupun muzik, holistiknya, mereka datang dengan dalil-dalil yang dipetik daripada Al-Quran, assunnah, dan ijmak, serta menggunakan kaedah "menutup ruang-ruang membawa kepada haram" dan kaedah menjauhi subhah. 

Namun begitu, majoriti fuqaha’ antaranya Syeikh Yusuf Al-Qardhawi menjawab bahawa nas-nas yang didatangkan walaupun ditafsir oleh para sahabat seperti Ibnu Mas’ud dan Ibnu Abbas dalam sesebuah ayat, ia bukanlah satu-satunya tafsiran yang boleh diambil kira”

Namun terdapat tafsiran-tafsiran lain yang boleh diguna pakai dalam menafsirkan ayat tersebut. Tafsiran para sahabat untuk satu-satu ayat tidak dihukumkan dengan marfu’ melainkan tafsiran yang turun sebagai asbab nuzul.

Syeikh Wahbah Zuhaili menukilkan kata-kata Imam Al Fakihani; “Tidak aku ketahui daripada Kitab Allah mahupun sunah suatu hadis yang sahih dalam pengharaman hiburan-hiburan malah ia adalah zahir dan umum ayat yang boleh ditakwil tanpa dalil-dalil yang qat’ie”

Adapun untuk nas-nas daripada assunnah yang dijadikan dalil pengharaman oleh golongan ini telah pun dihukumkan daif.  Oleh itu, kebanyakan ulama mengharuskan lagu-lagu untuk didengar walaupun yang datang daripada gambus dan seruling.

Kaedah seterusnya yang dijadikan dalil oleh golongan yang mengharamkan terus hiburan ialah menutup ruang-ruang yang boleh membawa kepada haram.

Syeikh Yusuf Qardhwi menjawab bahawa kaedah ini tidak sepatutnya digunakan secara berlebih-lebihan terutamanya apabila mengharamkan sesuatu yang boleh membawa kepada kebaikan dan menyempitkan ruang-ruang yang telah diberi sedangkan kaedah ini terdapat tahap-tahapnya dan tidak sampai tahap yang ditutup terus jalan ke arahnya.

Manakala kaedah menjauhi perkara-perkara subhat bukanlah suatu kewajipan, namun ia adalah perkara sunat sahaja yang digunakan untuk perkara yang samar-samar, bukanlah digunakan antara dua perkara yang sudah jelas keharusannya.

Mengikut kaedah usul fiqh, asal sesuatu perkara adalah harus sehingga datangnya dalil pengharaman. Perkara yang sudah jelas pengharamannya tidak boleh diingkari lagi pengharamannya, namun perkara yang diikhtilafkan, sesebuah golongan tidak boleh mengilzamkan yang lain supaya berpegang dengan satu-satu pendapat.

Memetik pandangan Imam Nawawi yang menarik dalam hal ini; “Setiap mujtahid telah mendapat pahala kerana benar, adapun mujtahid yang tersalah tidak dipertanggungjawabkan, kerana dosa telah terangkat daripadanya.”

Sedangkan golongan yang membolehkan hiburan pula mendatangkan nas-nas daripada ayat Al-Quran, hadis, kata-kata para sahabat dan kembali kepada maqasid syariah. Maqasid syariah mengatakan bahawa Islam tidak pernah mengharamkan suatu yang baik melainkan ia membolehkannya, sebagai rahmat kepada ummah untuk kebaikan jiwa-jiwa dan akal manusia.

No comments:

Post a Comment