Sunday 11 July 2021

KAWASAN TOK BALI PESAT MEMBANGUN

 

Asalnya, Tok Bali sekadar sebuah kampung di tepi pantai. Ia berubah menjadi kawasan pembangunan bersepadu dan mula dikenali pada tahun 1996 apabila Jambatan Tak Bali boleh digunakan menghubungkan bahagian utara dan selatan yang dipisahkan oleh Terusan Semarak.

Terusan Semerak dibina oleh Projek Kemasin Semerak (Perkasa). Jambatan Tok Bali semasa proses pembinaannya dilakukan di atas darat dan apabila siap baharu digali terusan di bawahnya.

Pembinaan Terusan Semerak ini menjadi pemangkin utama pembangunan di Tok Bali, di mana wujudnya pengangkutan melalui laut ke Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan Pulau Redang di Laut China Selatan.

Demikian juga dengan kewujudan jeti pendaratan ikan laut dalam sehingga kepada pertumbuhan industri pelancongan dan produk berasaskan hasil laut seperti keropok, bebola ikan dan sebagainya.

Tok Bali merupakan suatu kawasan yang amat pesat membangun dengan pebagai perancangan yang berbentuk infrastruktur, kemudahan dan perkhidmatan awam serta pembangunan institusi pendidikan, kesihatan, keselamatan dan industri yang berasaskan hasil laut dalam.

Terletak 16 km dari Bandar Pasir Puteh. Tok Bali menjadi sebuah pusat peranginan terkenal di Kelantan kerana terdapat kawasan pantai yang bersih serta kemudahan penginapan yang selesa.

Usaha membangunkan kawasan Tok Bali kini diselaraskan oleh Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Tok Bali yang disertai wakil kerajaan Pusat dan kerajaan Kelantan.

Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Tok Bali pada 11 Julai yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed telah memutuskan bahawa projek-projek yang sedang dan bakal dilaksanakan di kawasan Tok Bali perlu diberi keutamaan kerana berpotensi menjadi “game changer” dalam transformasi ekonomi di Kelantan.

No comments:

Post a Comment