Wednesday 6 October 2021

MELAYU PERLU ADA KEBERANIAN TOLAK GELARAN RASIS

Apa saja yang menyentuh kepentingan orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini dan yang terkandung dalam Perlembagaan perlu terus diperjuangkan.

Orang Melayu perlu mempunyai keberanian untuk menangkis pihak lain yang menggunakan istilah rasis dan perkauman untuk menutup hujah mengenai orang Melayu. 

Malah orang Melayu perlu menyerlahkan keberanian untuk tidak menjadikan Perlembagaan sebagai kitab usang.

Caranya ialah dengan tidak membiarkan pihak lain dengan mudah memanipulasikan sentimen yang menjuruskan kepada rasis sesuatu kaum.

Kaum lain tidak perlu sengaja membuat andaian salah terhadap orang Melayu, kononnya Melayu kaum yang rasis dan penindas kepada kaum lain. 

Buktinya, dalam sejarah dan ketamadunan Melayu tidak mencatatkan Melayu sebagai penakluk. Lihatlah mana-mana catatan sejarah sekali pun, adakah mencatatkan bahawa orang Melayu menjadi penakluk seperti bangsa-bangsa lain di dunia?

Kalau dilihat di luar konteks negara, dunia Melayu bukanlah sempit dan tidak berpengaruh. Tetapi memilik pengaruh besar tidak pernah menjadikan Melayu sebagai bangsa penakluk seperti sekian banyak penjajah yang menjajah negara ini. 

Jadi, orang Cina dan India perlu mengakui bahawa label rasis yang diberikan kepada orang Melayu sebenarnya membongkar sikap rasis mereka sendiri.

Toleransi orang Melayu sebenarnya hingga ke peringkat memakan diri. Semua ini tentunya dilakukan demi keamanan dan kestabilan politik di negara yang dihuni oleh pelbagai kaum ini.

Apa lagi yang perlu orang Melayu korbankan supaya tidak dianggap rasis oleh orang bukan Melayu? Hinggakan menghunus keris yang menjadi salah satu daripada resam budaya Melayu tidak boleh dilakukan kerana orang Cina mentafsirkan keris itu melambangkan keganasan.

Dalam budaya Melayu menghunus keris tidak ada kena mengena dengan mengamuk atau rasis terhadap kaum lain.

Maka berkorbanlah orang Melayu memohon maaf kerana menghunus keris. Sebenarnya cerita tentang keris ini sangat sukar dipercayai tetapi begitulah realitinya yang terpaksa dihadapi oleh orang Melayu bagi menjaga keharmonian hidup di negara ini.

Kaum lain kena ingat, orang Melayu adalah manusia biasa yang mempunyai tahap kesabaran yang sama dengan orang lain.

Sekiranya terlalu banyak provokasi yang melabelkan Melayu seolah-olah kaum yang rasis, sudah tentu suatu perasaan yang tidak baik wujud di antara pelbagai kaum di negara ini.

Kenyataan bahawa kedudukan kaum lain tidak sama dengan bumiputera di negara ini bukanlah luar biasa. Malah dalam Perlembagaan juga ada peruntukkan tertentu yang tidak diberikan kepada kaum lain. 

Gambar kembara berjalan kaki ke Bukit Gua Kambing tiada kaitan dengan tulisan ini. Sekadar hiasan. 

No comments:

Post a Comment