Sunday 28 November 2021

BAHASA MELAYU DIGUNAKAN BAGI MAKSUD RASMI

Bahasa kebangsaan negara ini adalah bahasa Melayu dan bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi.

Maksud rasmi adalah maksud kerajaan sama ada kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, ataupun pihak berkuasa awam.

Perkara ini sudah jelas diperuntukkan dalam Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan, serta ditegaskan dalam beberapa pekeliling perkhidmatan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan. Maksud rasmi ini termasuklah nama program dan majlis rasmi kerajaan.

Justeru, sebagai wadah penyampai bagi setiap dasar kerajaan, setiap kementerian dan agensi perlu menunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat dengan memastikan penggunaan bahasa kebangsaan dalam sektor perkhidmatan awam dilaksanakan secara menyeluruh serta digunakan dengan betul dalam semua urusan rasmi sama ada dalam bentuk tulisan mahupun lisan.

Sebarang penggunaan bahasa campuran sudah tentunya tidak memancarkan identiti negara Malaysia.

Bahasa kebangsaan ialah lambang yang mewakili negara. Sama halnya dengan lambang negara yang lain, seperti bendera, lagu, bunga dan lain-lain. Kerajaan juga akan dilihat tidak serius dalam memartabatkan bahasa kebangsaan dan pastinya akan menyukarkan pengembangan bahasa dalam sektor lain, terutama swasta, badan bukan kerajaan dan masyarakat awam.

Semangat cintakan bahasa kebangsaan akan menjadi semakin lemah. Selain itu, bahasa Melayu akan dilihat seolah-olah tidak mampu menjadi bahasa kebangsaan negara kerana tidak cukup perkataan dan istilah yang sesuai dengan keadaan semasa. Jika dibiarkan berterusan, bahasa kebangsaan akan semakin hilang peranannya sebagai bahasa komunikasi moden,

Menerusi Pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, ia dapat memberi kuasa kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu, sekiranya terdapat banyak pelanggaran bahasa.

Rakyat Malaysia perlu mempertahankan bahasa Melayu sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan dalam Penyata Razak juga menyebut bahawa bahasa Melayu adalah bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara serta perlunya kita mempertahankan bahasa rasmi.

Kedudukan dan peranan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan, khususnya di institusi pendidikan kerajaan dan institusi pendidikan tinggi swasta telah dinyatakan dengan jelas dalam undang-undang.

Perkara ini diperuntukkan dalam Akta Pendidikan, 1996 [Akta 550] dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta, 1996 [Akta 555]. Bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama. Jika menggunakan bahasa lain, maka bahasa Melayu hendaklah diajarkan sebagai mata pelajaran wajib.

Tanggapan penggunaan bahasa kebangsaan menyebabkan seseorang tidak terdidik atau kurang keterampilan adalah tidak benar. Sistem pendidikan kebangsaan yang berteraskan bahasa kebangsaan sejak sekian lama telah terbukti melahirkan ribuan cendekiawan, teknokrat dan pemimpin negara.

Gambar: Generasi muda perlu diberi pendedahan meluas untuk menggunakan bahasa Melayu.

No comments:

Post a Comment