Pokok rumbia (Metroxylon sagu) atau
dipanggil sebagai pokok sagu adalah sejenis pokok palma yang tumbuh liar
di kawasan lembap. Dulu tumbuhan ini tidak dikisahkan sehingga ianya dilihat
sebagai ada nilai ekonomi untuk ditanam dan diproes. Kajian marfologi tumbuhan
ini mendapati terdapat kelainan pada rumbia iaitu jenis yang berduri dan tanpa
duri.
Pokok rumbia selain ditebang untuk
mendapatkan sagunya, bahagian daunnya juga boleh dijadikan atap. Pokok rumbia
boleh ditanam untuk tujuan penghasilan sagu secara besar-besaran. Sarawak
adalah pengeluar sagu terbesar di Malaysia.
Tempoh ia matang bergantung kepada
kesuburan tanah. Lazimnya secara purata tanaman pokok rumbia boleh dituai
apabila telah pun menjangkau umur 12-13 tahun di tanah mineral dan 15-18 tahun
di tanah gambut.
Pokok rumbia matang yang telah ditebang
perlu diproses secepat mungkin bagi mengelakkan kemerosotan kandungan kanji di mana
ia biasanya tidak melebihi 2 hari selepas ditebang. Hasilnya adalah tepung sagu
rumbia boleh digunakan untuk memproses serbuk perasa (MSG), sirap glukosa,
alkohol, makanan bayi, gum gula-gula, tekstil, kertas, pelekat, gam, bahan
pembeku, plastik dan lain-lain.
Pokok rumbia mempunyai batang yang bersaiz
besar dan tegap dengan tumbuh menegak sehingga mencapai ketinggian antara 10–12
meter. Batangnya dilihat mempunyai isi yang lembut dan mengandungi kandungan
kanji yang tinggi.
Pokok rumbia mengeluarkan jambak bunga yang
menghasilkan banyak bunga jenis dwiseks dan kemudian akan mengeluarkan
biji-biji sagu. Bunga adalah jenis ‘protandrous’ di mana bunga jantan akan
menjadi matang dahulu daripada bunga betina. Ini bagi memastikan pendebungaan
kacuk (cross pollination) akan berlaku.
Musim berbunga akan mengambil masa dua
tahun di mana selepas ini pokok rumbia akan mati. Sagu yang dihasilkan
daripada batang rumbia (mulong) atau Metroxylon sagu mempunyai potensi yang
semakin tinggi dalam industri makanan dan ubat-ubatan.
Secara tradisional bahan tanaman yang digunakan
ialah sulur. Sulur rumbia yang disemai dan dijadikan anak benih perlu diambil
daripada pokok induk. Kerja untuk mendapatkan sulur, penyediaan tapak semaian
dan pemilihan sulur yang berkualiti perlu dilakukan dengan teliti.
Tapak semaian sulur memerlukan kolam atau
sungai untuk pembesaran sulur, sebelum dipilih dan dipindahkan ke tapak kekal. Kaedah
ini mempunyai kelemahan kerana kejayaan sekitar 60% sahaja. Proses ini biasanya
mengambil masa kira-kira 12 bulan sebelum sulur dipindahkan ke tapak kekal. Kaedah
lain untuk mendapat anak rumbia ialah penggunaan biji benih.
Pemilihan biji rumbia untuk dijadikan benih
yang berkualiti diberi keutamaan. Bagi memastikan peratus percambahan yang
tinggi, aspek kualiti biji benih hendaklah diberi keutamaan. Buah rumbia yang
hendak dijadikan biji benih mestilah dipilih daripada pokok induk yang matang
(berumur kira-kira 12 tahun) di mana cara untuk mendapatkan buahnya, cara biasa
adalah dengan menebang pokok induk.
Walau bagaimanapun, teknik mengait
(menjolok) tandan buah dengan galah atau mengutip buah matang yang gugur lebih
digalakkan untuk kerja mengumpul buah rumbia.
Buah rumbia hendaklah dipilih dengan
mencucuk paku ke dalam buah. Amalan demikian dilakukan untuk mengetahui keadaan
biji di dalamnya. Biji yang keras lebih baik sebagai biji benih.
Sebelum disemai, buah tersebut hendaklah
dijemur di bawah cahaya matahari untuk menanggalkan kulit luarnya. Teknik
penjemuran ini dibuat dengan meletakkan buah tersebut di atas tanah atau di
atas lapisan habuk sabut kelapa.
Di tempat yang mana pokok rumbia tidak dijadikan
sagu, ia akan digunakan sebagai bahan makanan itik. Itik makan batang rumbia
atau mulong cepat membesar dan penghasilan telur yang lebih banyak dan
berkualiti. Batang sagu akan dipotong dalam panjang satu meter dan dibelah dua.
Itik akan menyudu batang sagu itu sedikit demi sedikit.
No comments:
Post a Comment