Tular di media sosial tentang impian Ahmad
Arif Bin Aziz, 20, ingin menyambung pengajian di Mesir, kemungkinan tidak
tercapai apabila dananya, tidak mencukupi.
Namun berkat wang zakat sumbangan orang
ramai, akhirnya pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan
(MAIK) tampil menghulurkan bantuan segera membantu merealisasikan impiannya.
Setelah mendapat tahu masalah dihadapi Arif
untuk mengumpulkan wang demi mencapai impiannya belajar di Mesir, wakil dari
MAIK segera turun padang menyampaikan amanah para pembayar zakat. Hasrat besar
mereka untuk membantu insan-insan memerlukan termasuklah adik Arif yang mahu
menuntut ilmu agama ini.
Arif terpaksa bekerja tiga jenis pekerjaan
setiap hari untuk mencukupkan duitnya. Dia bekerja demi merealisasikan impian
untuk belajar di Universiti Al-Azhar, dalam jurusan Syariah Islamiah. Dia tidak
boleh berpeluk tubuh demi impiannya. Ibu hanya suri rumah, ayah pula menghadapi
masalah penglihatan sebelah mata.
Pagi, dia bekerja di kedai menjual makanan
sunnah, kemudiannya mengajar mengaji dan juga mengajar secara dalam talian.
Itulah rutin anak muda ini. Segalanya dilakukan demi impian. Pun begitu wang
masih belum mencukupi.
Ujarnya disamping usaha, dia juga sentiasa
berdoa agar impiannya menjadi kenyataan. Alhamdulillah luah Arif, dimakbulkan
Allah SWT.
Hari ini, pihak MAIK telah menyampaikan
berita gembira kepada adik Arif. Pihak MAIK atau sebenarnya, para pembayar
zakatlah yang telah merealisasikan impiannya. MAIK diwakili Ketua Pegawai
Baitulmal, Ridhwan bin Abdul Rahman, mengunjungi Arif di rumahnya di Kampung
Petani, Sering, Kota Bharu.
MAIK sampaikan wang zakat berjumlah RM7,000
sebagaimana yang Arif perlukan untuk menampung kos tiket, visa dan sebagainya.
Dengan senyuman, Arif banyak kali
mengucapkan terima kasih kepada MAIK dan pembayar zakat kerana baginya tanpa
wang zakat ini, tidak mungkin impiannnya untuk ke Mesir menjadi kenyataan.
Dia juga mengucapkan terima kasih berulang
kali kerana sebelum ini juga dia pernah menerima Biasiswa Tengku Anis MAIK dan
juga mendapat bantuan Program Dermasiswa Sultan Ismail Petra (DSIP) MAIK untuk
membantu pengajiannya.
Lihatlah, betapa besarnya manfaat wang
zakat kalian para pembayar zakat. Betapa banyaknya ganjaran yang diperoleh.
Pahalanya berterusan seperti air mengalir.
Apatah lagi wang zakat anda digunakan oleh
anak-anak asnaf untuk menuntut ilmu yang bermanfaat. Itulah janji-janji Allah. Itulah
sebenarnya yang dikejar oleh kita sebagai hamba Allah SWT. Mahukan ganjaran
pahala berpanjangan meskipun sudah tiada di bumi ini lagi, tunaikan zakat.
No comments:
Post a Comment