Saturday 6 April 2024

PAKAIAN HARI RAYA ZAMAN DAHULU

 
Zaman dahulu, pakaian orang Melayu Kelantan dewasa pada hari raya pertama untuk ke masjid solat sunat Aidilfitri, paling popular baju melayu telok belanga, kain pelikat dan semutar atau songkok, yang sudah pergi haji pakai kopiah putih. Golongan elit selalunya memakai baju kot, kain pelikat, tali pinggang besar warna hijau, songkok atau kopiah dengan lilitan serban dan sehelai lagi serban di letak di atas bahu. Baju kot warna putih atau putih susu, selepas pakai hantar dobi. Sekali pandang macam Kyai Nahdatul Ulama. Mungkin tempias dari seberang. Baju Melayu lengkap bersamping hanya dipakai golongan bangsawan dan di bandar.
 
Manakala seluar bellbottom pula menjadi kegilaan remaja. Bahagian pinggangnya ketat, kakinya besar dan labuh. Kalau tak berhati-hati, berjalan boleh terserek tahi ayam muna yang berceretet di laman rumah.
 
Fesyen bellbotoon ini katanya tiru seluar tentera laut Amerika, yang direka sedemikian rupa bertujuan mudah dilipat untuk mengharungi air. Pakai seluar bellbotoom rambut mesti berjambul, siapa panjang jambul akan mendapat perhatian ramai. Macam lagak A. Mahmud karya Allahyarham A. Fattah. Naik skuter rambut tak patah. Bukan mudah mahu membentuk jambul, mesti guna minyak rambut yang pekat dengan mencampurkan sedikit kapur sireh, barulah terpacak tak termakan godaan angin.
 
Pakaian wanita juga ada bellbottom. Tetapi sebelum datang bellbotoom lagi teruk, macam bungkus nangka. Fesyen kipas namanya. Berjalan pun gedek-gedek. Manakala yang sudah berumur, pakai baju kebaya, dengan menutup rambut tetapi nampak jambul. Tudung yang dipakai hari ini bermula penghujung tahun 1970-an setelah angin dakwah memasuki kampung dan bandar seluruh negara.
 
Tulisan dan gambar oleh: Rossem

No comments:

Post a Comment