Saturday 25 May 2024

USAHA DAKWAH ORANG ASLI DI POS TUEL, LOJING

 
Dr Abdul Razak Kechik ialah individu yang mula meneroka dakwah kepada Orang Asli di Pos Kampung Tuel, Gua Musang. Beliau bersama Islamic Outreach ABIM Kelantan (IOAK) mula berdakwah di situ tahun 1996.
 
Pada mulanya dakwah berliau bersama rombongan ditolak dan diancam dengan sumpit oleh penduduk kampung. Bagaimanapun dengan pendekatan lembut dan berhemah, kehadiran mereka diterima.
 
Bermula dengan datang membahagikan ubat-ubatan, makanan dan keperluan asas lain, serta melakukan aktiviti bersama penduduk kampung, maka terbinalah hubungan akrab. Setiap bulan kumpulan dakwah ini datang ke Pos Tuel menghulurkan bantuan dan bersahabat dengan penduduk di situ.

Setelah setahun baharulah mereka menyatakan hasrat dakwah untuk mengajak penduduk di Pos Tuel memeluk Islam. Itupun dijelaskan bahawa tiada paksaan. Amat mengejutkan, apabila hasrat itu tidak dibantah, bahkan diterima baik. 
 
Sinar Islam mula bercahaya di Pos Tuel bermula pada 17 Julai 1997, kira-kira setahun setelah usaha mendekati dilakukan, seramai 17 orang penduduk memeluk Islam. Menariknya, penerimaan Islam itu diketuai sendiri oleh Penghulu Pandak bersama-sama orang “kanan” seperti Angah, Busu dan Pak Mat.
 
Penduduk Pos Tuel bukan menolak pembangunan dan pendidikan kepada anak-anak mereka. Bahkan, mereka berharapkan agar ada guru yang sanggup mengajar pendidikan asas. Pun begitu, pada masa itu belum ada sekolah kerajaan beroperasi di kawasan tersebut.
 
Justeru, Angah telah dibawa ke Kota Bharu untuk belajar ilmu asas membaca, menulis dan mengira. Setelah enam bulan belajar menjadi guru, Angah pulang ke Pos Tuel dan mula mengajar kanak-kanak dan orang dewasa di situ dengan tajaan IOAK.
 
Sebenarnya, misi Angah belajar di Kota Bharu bukan sahaja untuk menjadi guru, tetapi juga pendakwah. Dia yang sedikit sebanyak telah mengetahui mengenai asas ilmu Islam juga telah diamanahkan untuk membimbing saudara baharu di sini.
 
Selepas lapan tahun beroperasi, sekolah tajaan IOAK itu ditamatkan operasi apabila kebanyakan pelajar bersedia untuk berpindah belajar secara formal di Sekolah Kebangsaan Hendrop, yang terletak beberapa kilometer dari kampung tersebut.
 
Kanak-kanak di Pos Tuel kini terus bersekolah di SK Hendrop. Tidak ada sekolah rendah di Pos Tuel.
 
Bermula dakwah 1997 (kumpulan pertama memeluk Islam) kini semua penduduk di Pos Tuel kini beragama Islam. Mereka adalah daripada etnik Orang Asli Temiar.
 
Perjalanan ke Kampung Pos Tuel, dari jalan utama Gua Musang-Lojing, mengambil masa lebih 40 minit melalui jalan berturap yang menyusuri tebing sungai dan gaung curam. Jalan yang dahulunya diterokai pembalak agak sempit, hanya boleh dilalui kenderaan ringan tetapi menawarkan pemandangan indah banjaran Titiwangsa yang membahagikan tiga negeri, iaitu Perak, Pahang dan Kelantan.

Jarak Pos Tuel dari Gua Musang ialah kira-kira 75 kilometer

Gambar - Razak (paling kiri) hadir zirah penduduk Pos Tuel pada Mei 2024.

No comments:

Post a Comment