Pesta Ponggal adalah festival yang diraikan
di seluruh India dengan nama yang pelbagai mengikut tempat, sebagai menghormati
Dewa Matahari iaitu Surya.
Antara nama-nama lain bagi Pesta Pongal adalah:
- Ponggal (Tamil Nadu)
- Maghi (Lahore)
- Bihu / Bohaggiyo Bhishu (Assam)
- Sankrat (Rajasthan)
- Makara Sankranti (Maharashtra)
- Uttarayan (Gujarat)
- Magha Saaji (Shimla)
- Poush Sankranti (Bengal Barat)
Surya adalah Dewa Matahari dalam
kepercayaan agama Hindu dan penjaga bagi sudut selatan dan barat. Bapanya
adalah Dewa Langit iaitu Dyaus. Terdapat satu mitos menyebut bahawa dia dijadikan
daripada mata Purusha iaitu makhluk kosmos. Rambutnya dan kedua-dua lengannya
berwarna emas. Dewa Surya menaiki kereta kuda yang dikenderai oleh 4 atau 7
ekor kuda. Di tangannya terdapat bunga teratai dan juga cakera. (Lihat The
Routledge Dictionary of God, Goddesses, Devils & Demons, m. 178)
Secara khususnya, Ponggal adalah satu
festival yang diraikan oleh masyarakat di Selatan India terutamanya Tamil. Festival
Ponggal disambut pada hari pertama bulan Thai (sekitar pertengahan Januari)
bagi meraikan Dewa Surya yang merupakan sumber tenaga dan penyumbang utama bagi
pertanian.
Pelbagai cerita dibawakan berkenaan Dewa
Surya yang mempunyai kesan terhadap sambutan Pesta Ponggal ini. Dewa Surya
mempunyai ramai anak, antaranya Dewa Shani yang dinisbahkan dengan Planet
Saturn. Semasa Shanti lahir, dikatakan berlaku gerhana matahari. Dewa Shani dan
Dewa Surya dikatakan sering berbeza pandangan namun pada hari pertama dalam
bulan Thai, Dewa Surya akan menziarahi Dewa Shani.
Makanan terutamanya manisan disediakan
dengan menggunakan minyak bijan kerana kelikatan dan kepekatannya. Oleh itu,
manisan yang diberikan adalah sebagai symbol tautan dan hubungan yang erat walaupun
apa jua perbezaan yang ada.
Pesta Ponggal juga adalah meraikan
fasa-fasa awal kitaran pertanian. Ia adalah masa bagi mendoakan musim menanam
padi yang produktif dan musim menuai yang baik di masa hadapan. Kebiasaannya,
lembu-lembu juga dimandikan pada hari ini begitu juga meraikan aspek-aspek lain
berkaitan produktiviti pertanian. (Lihat Religious Celebrations: An
Encyclopedia of Holidays, Festivals, Solemn Observances, and Spiritual
Commemorations, m. 547)
Bagaimanapun, sesuai peralihan masa, Pesta
Pongga kini lebih bersifat sambutan untuk kaum India yang melibatkan semua
lapisan masyarakat India. Ia tidak dianggap perayaan agama, biarpun unsur
kepercayaan itu masih wujud dan diamalkan setiap kali sambutan.
- Ponggal (Tamil Nadu)
- Maghi (Lahore)
- Bihu / Bohaggiyo Bhishu (Assam)
- Sankrat (Rajasthan)
- Makara Sankranti (Maharashtra)
- Uttarayan (Gujarat)
- Magha Saaji (Shimla)
- Poush Sankranti (Bengal Barat)
No comments:
Post a Comment