Saturday 26 March 2016

Gingko membantu otak menjadi cerdas

Apa itu gingko? Gingko biloba atau ada juga menyebutnya ginkgo biloba adalah sejenis tumbuhan yang didapati daripada pokok gingko. Walaupun diancam kepupusan pada zaman ais, pokok gingko bertahan dan masih ada di negara China. Ia dipercayai merupakan salah satu spesis pokok yang hidup paling tua di dunia. 

Pokok gingko adalah sejenis pokok yang bersaiz besar. Pada kebiasaannya pokok ini boleh mencapai ketinggian 20 hingga 35 meter dan ada juga yang mencecah sehingga ketinggian 50 meter di negara China.

Pokok gingko tahan kepada angin yang kuat, salji dan juga tahan daripada penyakit menyebabkan ia boleh hidup lama. Daun gingko agak unik kerana ia berbentuk berbentuk seperti kipas dengan urat yang terpancar keluar ke bilah daunnya.

Kegunaan gingko. Selama beribu-ribu tahun, daun daripada pokok gingko biloba telah menjadi rawatan biasa dalam perubatan tradisional Cina.

Suplemen gingko kebanyakan berasal daripada daun. Namun perlu berhati-hati kerana biji gingko berbahaya jika diambil secara mentah.

Para saintis telah menemui lebih daripada 40 unsur kimia utama dalam gingko. Hanya dua unsur kimia yang dipercayai bertindak sebagai ubat iaitu flavonoid dan terpenoid.

Flavonoid adalah antioksidan berasaskan tumbuhan. Kajian makmal dan kajian ke atas haiwan menunjukkan bahawa flavonoid melindungi saraf, otot jantung, saluran darah dan retina daripada kerosakan.

Terpenoid pula memperbaiki aliran darah dengan mengembangkan saluran darah dan mengurangkan kelekitan platlet.

Oleh itu ramai yang mengambil produk gingko percaya bahawa ia boleh meningkatkan daya ingatan, menajamkan pemikiran dan juga mengatasi masalah peredaran darah.

Persoalannya kini, adakah kepercayaan ini disokong oleh fakta saintifik dan klinikal?

Meningkatkan daya ingatan. Ginkgo juga dikenali sebagai "herba otak". Gingko meningkatkan aliran darah ke otak dan bertindak sebagai antioksida. Terdapat beberapa kajian yang mendapati bahawa gingko membantu meningkatkan ingatan dan pemikiran dalam kalangan orang muda dan pertengahan umur yang sihat.

Perkara ini juga dapat dilihat dalam beberapa kajian yang menunjukkan gingko boleh membantu mencegah perkembangan gejala demensia, terutamanya jika demensia tersebut dianggap sebagai hasil daripada penyakit salur darah.

Didapati gingko memberi kesan positif kepada memori dan pemikiran serta memudahkan pengidap alzheimer atau demensia melakukan tugas seharian.

Selain daripada itu, gingko sering ditambah ke dalam makanan, minuman ringan, dan air buah-buahan untuk meningkatkan daya ingatan dan meningkatkan prestasi mental. Namun jumlah gingko yang ditambah itu adalah dalam kuantiti yang kecil dan mungkin tidak membantu dalam memberikan kesan.

Membaiki pengaliran darah. Oleh kerana dipercayai gingko boleh memperbaiki aliran darah, kajian telah dilakukan kepada pesakit yang mempunyai masalah kurang aliran darah ke kaki. Mereka yang mempunyai masalah ini menghadapi kesukaran untuk berjalan dan berasa sakit ketika berjalan.

Analisa daripada 8 kajian menunjukkan bahawa individu yang mengambil gingko cenderung untuk berjalan kira-kira 34 meter lebih jauh daripada mereka yang mengambil placebo. Walau bagaimanapun, senaman dan latihan berjalan menunjukkan keputusan yang lebih baik daripada gingko dalam meningkatkan jarak berjalan kaki.

Degenerasi makula. Flavonoid yang dijumpai dalam ginkgo juga dipercayai boleh membantu memberhentikan atau mengurangkan beberapa masalah berkaitan retina, iaitu bahagian belakang mata.

Degenerasi makula yang berkaitan dengan faktor usia adalah penyakit mata yang memberi kesan kepada retina dan boleh menyebabkan buta. Terdapat beberapa kajian yang mencadangkan bahawa gingko boleh membantu mengekalkan penglihatan bagi mereka yang mempunyai masalah degenerasi makula ini.

Melihat kepada hasil beberapa kajian, kegunaan gingko memberi harapan baru bagi individu yang mempunyai masalah degenerasi makula untuk mengatasi masalah penglihatan mereka.

Kebaikan Gingko Biloba:
- Memperbaiki pengaliran darah.
- Meningkatkan prestasi otak.
- Mengubati sakit kepala dan migrain.
- Mengubati masalah kemurungan.
- Merawat penyakit asma.
- Merawat tinitus (masalah pendengaran).
- Merawat glaucoma (masalah penglihatan).
- Membaiki peredaran darah.
- Meningkatkan kesihatan jantung.
- Memberi perlindungan kepada pusat memori.
- Antikanser


No comments:

Post a Comment