Thursday, 15 February 2018

KHIDMAT CINA BUTA


Bersedia jadi cina buta untuk mana-mana wanita dicerai talak tiga oleh suami. Tiada syarat ditetapkan. Ikut sahaja apa dikehendaki pelanggan. Demikian catatan seorang lelaki yang menawarkan khidmat cina buta.

Khidmat cina buta, jadi suami sementara atau suami ekspres kepada janda diceraikan suami talak tiga. Pasangan suami isteri muda mudah berlaku pergolakan dalam rumah tangga, terutama isu cemburu membawa kepada perceraian.

Suami menceraikan isteri dengan talak tiga sama ada sekaligus atau tiga kali bercerai tidak boleh rujuk atau berkahwin semula dengan bekas isterinya.  

Satu keadaan yang membolehkan mereka kembali hidup bersama sebagai suami isteri ialah setelah bekas isterinya berkahwin dengan lelaki lain setelah lepas idahnya dengan akad nikah yang sempurna.

Bekas isteri sudah disetubuhi oleh suami baharunya. Bekas isteri itu diceraikan oleh suami baharunya, sama ada suaminya itu meninggal dunia atau suaminya itu menceraikan wanita tersebut. 

Untuk melunaskan kehendak hukum agama itu, maka wujudlah apa yang dinamakan cina buta atau di Indonesia dikenali sebagai“chindor buta”.

Cina buta diupah untuk menjadi suami sementara dan melakukan syarat ditetapkan oleh syarak itu bersetubuh dengan isteri dan kemudianya menceraikan bagi membolehkan berkahwin dengan bekas suami. 

Memandangkan bukan mudah untuk mencari lelaki yang sanggup menjadi cina buta, tambah lagi dalam keadaan terdesak, maka ada individu yang menjadikan cina buta sebagai satu kerjaya.

Mereka menjadi pak sanggup atau cina buta semata-mata ingin imbuhan lumayan mencecah RM10,000 atau lebih. Lebih menarik minat ialah peluang menjadi suami percuma yang semua ditanggung oleh isteri atau bekas suami. Kata orang, wang boleh nikmat pun dapat.

Bagi yang mengambil kesempatan, macam-macam syarat si pelaku cina buta tetapkan. Mereka tahu permintaan itu akan ditunaikan. Jadi, guna sepenuhnya peluang yang ada.

Pelaku cina buta tidak kisah dilabel dengan gelaran itu. Malah mereka memberi alasan ia bukan perkara mendatangkan kesalahan kerana segala-galanya dilakukan mengikut syarak.

Bahkan, mereka berbangga dapat membantu menyatukan semula pasangan yang telah bercerai. Dapat membina semula rumah tangga yang telah hancur. Anak-anak dapat hidup semua bersama ibu bapa.

Sebenarnya, terdapat khilaf atau perbezaan pendapat di kalangan ulama berkaitan dengan cina buta. Mereka membahaskan sama ada nikah cina buta itu sah atau sebaliknya. Jika tidak sah, maka implikasinya ialah persetubuhan pasangan bercina buta itu adalah haram.  

Begitu juga perkahwinan dengan bekas suami juga tidak sah kerana tidak menepati peraturan atau syarat bahawa bekas isteri itu perlu kahwin dan bersetubuh dengan suami barunya. 

No comments:

Post a Comment