Thursday 24 October 2019

AMALAN UCAP SALAM BERI SUNAT MUAKKAD WAJIB JAWAB


Memberi salam hukumnya sunat muakkad, iaitu sunat yang amat dituntut dilakukan di mana pahalanya lebih besar daripada sunat-sunat lain. 

Jika memberi salam hukumnya sunat muakkad, tetapi menjawab salam adalah wajib bagi sesiapa yang mendengar salam itu sama ada suka atau tidak kepada orang mengucapkan salam itu.

Bagaimanapun, dalam kumpulan ramai, memadai salam itu dijawab oleh seorang yang mewakili kumpulan itu. Pun jika semua yang ada itu menjawabnya, maka itu adalah lebih baik. 

Diperhatikan ucapan salam tidak meluas di kalangan masyarakat Islam di negara kita, kecuali dalam urusan rasmi. Apabila menemui seseorang yang ingin dihormati saja ucapan salam ditujukan itiu kebiasannya orang bawahan memberi salam kepada orang atasan. 

Malah ada orang sukar melafazkan ucapan salam kerana segan. Mereka takut dipanggil alim, sedangkan keadaan dirinya sebenar adalah sebaliknya. Maka ucapan yang lebih kerap digunakan ialah helo, hai dan sebagainya. Perbuatan itu membuktikan sifat malu tidak bertempat.

Tidak kurang juga tidak mahu memulakan salam kerana merasakan kedudukannya lebih tinggi. Ucapan salam diharapkan ditujukan kepadanya, tetapi tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain. 

Mengucapkan salam tidak dihadkan bilangan. Boleh diucapkan salam kepada orang sama setiap kali bertemu dalam selang masa yang singkat.

Namun, jangan pula keterlaluan sehingga menimbulkan perkara tidak disenangi. Islam lebih suka amalan dilakukan berterusan biarpun sedikit daripada melakukan banyak tetapi dalam tempoh singkat.    

Untuk membiasakan ucapan salam, mulakan dulu di kalangan keluarga dan sahabat terdekat. Memberi salam sebelum memasuki rumah adalah salah satu cara mendapatkan keberkatan dan kejayaan dalam rumahtangga.

Amalan ini pernah disuruh oleh Rasulullah SAW agar dilakukan oleh Anas seperti mana diriwayatkan Baihaqi.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Hai Anas! Ratakanlah wududmu nescaya bertambah umurmu. Berilah salam kepada orang yang engkau temui daripada umatku nescaya bertambahlah kebajikanmu. Dan apabila engkau masuk ke rumahmu, maka berikanlah salam kepada keluargamu nescaya banyaklah kebajikan rumahtangga.”

Marilah kita sama-sama mengucap dan menjawab salam.

No comments:

Post a Comment