Pada tahun 1411, Baginda Raja Kumar menjadi pemerintah Kelantan. Baginda telah membuat perhubungan muhibbah dengan Maharaja China dalam tahun itu dan kemudian pada 1412 Baginda telah menerima persembahan balas yang merupakan kain-kain sutera serta surat kepujian.
Pada akhir kurun yang kelima belas iaitu 1465, Kelantan lebih bersinar daripada Patani dan Raja yang memerintahnya ialah Sultan Mansor Shah yang mengganti paduka ayahandanya Sultan Iskandar Shah.
Kemasyhuran Negeri Kelantan terdengar ke Melaka. Pada tahun 1506, Sultan Mahmud, Sultan Melaka yang akhir, telah mengirim bala tentera, pahlawan-pahlawan diketuai oleh Bendahara Seri Maharaja dengan maksud hendak menaklukkan Negeri Kelantan.
Hasilnya seorang puteri Sultan Mansor Shah yang bernama Onang Kening dikahwinkan dengan Sultan Mahmud, Melaka, yang kemudian menjadi bonda kepada Sultan Muzaffar Shah pemerintah Perak yang pertama (1513).
Manakala Sultan Mansor Shah mangkat, maka dilantik puteranya yang bernama Raja Gombak menjadi Sultan Negeri Kelantan dalam 1526.
Baginda Sultan Gombak mengambil cucunya yang bernama Raja Ahmad sebagai putera angkatnya. Apabila baginda mangkat, Raja Ahmad ditabal menjadi Sultan Kelantan pada 1584 dan baginda berkahwin dengan Cik Banun puteri Seri Nara DiRaja yang menjadi sepupu kepada Raja Hussin di sebelah isteri putera Lela Wangsa Pahang.
Tiga tahun kemudian baginda telah dikurniakan seorang puteri yang dinamakan Cik Wan Kembang. Empat tahun kemudian baginda Raja Ahmad mangkat. Memandangkan Che Wan Kembang baharu berumur empat tahun, maka dilantik Raja Hussin dari Johor menjadi Pemangku Raja pemerintah Kelantan.
Pada tahun 1610, Che Wan Kembang ditabal menjadi Raja yang bersemayam di Gunung Cinta Wangsa, Ulu Kelantan.
Pusat Kerajaan ini menjadi masyhur dan dilawati oleh dagang sentry termasuk orang-orang Arab. Orang-orang Arab memanggil Che Wan Kembang dengan nama “Paduka Che Siti”.
Seekor kijang telah disembahkan oleh rakyat-rakyat baginda dari Gunung Ayam. Baginda sangat suka dan gemar kepada kijang tersebut sehingga diterapkan gambar kijang itu di atas wang emas perbelanjaan negeri dan kemudian dijadikan gambar kijang itu sebahagian lambang Kerajaan Kelantan sehingga sekarang.
Pada masa baginda Paduka Che Siti memerintah Kerajaan yang berpusat di Gunung Cinta Wangsa maka di sebelah Timur Laut negeri ini, ada sebuah kerajaan yang berpusat di Jembal. Raja yang memerintahnya bernama Raja Sakti, mangkat dan dilantik puteranya Raja Loyar menjadi pemerintah gantinya pada 1649.
Baginda beroleh seorang putera bernama Raja Sakti (sama nama dengan datuknya) yang mangkat kecil lagi, dan seorang puteri bernama Puteri Sadong.
Perkhabaran baik Kerajaan Jembal terdengar kepada Kerajaan Gunung Cinta Wangsa, lalu berangkatlah Paduka Che Siti Wan Kembang mengadap Raja Loyar.
Perjanjian muhibbah telah dibuat dan sebagai tanda persabahatan antara dua kerajaan itu, Puteri Sadong dijadikan anak angkat Paduka Che Siti Wang Kembang.
Puteri Sadong semakin besar semakin cantik parasnya sehingga rakyat-rakyat di Cinta Wangsa menggelarkan Puteri Sadong dengan nama timbang-timbangan Puteri Wijaya Mala.
Kecantikan Puteri Sadong terdengar kepada Raja Siam, lalu menghantar pinangannya tetapi pinangan itu ditolak. Kerana hendak menyelamatkan pertalian Diraja, maka Puteri Sadong dikahwinkan dengan sepupunya Raja Abdullah.
Dan kerana desakan Raja Siam yang dipandang berbahaya kepada negeri, maka Raja Abdullah telah mengizinkan permaisurinya, Puteri Sadong berangkat ke Bangkok.
Sekembalinya Puteri Sadong berbangkitlah perbalahan yang akhirnya Raja Abdullah mangkat tertikam dengan pemacak sanggul Puteri Sadong.
Dengan kehendak Puteri Sadong, Raja Abdul Rahim, saudara Raja Abdullah yang muda telah dilantik menjadi Sultan pada 1671 dan dikahwinkan dengan janda Raja Abdullah.
Selepas itu Puteri Sadong berangkat ke Gunung Cinta Wangsa melalui Bukit Marak dan dari situ tidak terlihat lagi.
Selepas itu Sultan Abdul Rahim pun mangkat ditikam orang di tepi Tasik Lelayang Mandi dan dengan kemangkatan itu putuslah Kerajaan Mahaligai dan wujud kembali Kerajaan Jembal di bawah pemerintahan Raja Omar yang bergelar Sultan Omar pada tahun 1675.
Shahadan, maka tersebutlah putera-putera Raja Selawasi yang berangkat ke Johor pada 1633. Tidak lama kemudian putera Raja Selawasi dijodohkan dengan puteri Laksamana yang bernama Wang Teja.
Pada 1640 baginda dan isterinya Wan Teja berangkat ke Patani. Baginda telah dikurnia gelaran Endek Pakoh Ali dan dikahwinkan dengan Puteri Seri Biji Diraja Patani.
Seorang putera daripada isteri yang bernama Seri Paduka Che Dewi yang bernama Wan Dai’im bergelar Datuk Pengkalan Tua. Seorang daripada putera Wan Dai’im bernama Tuan Besar (Long Bahar) berkahwin dengan puteri Sultan Omar bernama Raja Pah dan telah dilantik menjadi raja di Bukit Jarum Legeh, serta menjadi utusan baginda ke Bangkok.
Dalam tahun1733, Baginda Long Bahar mangkat dan ditabalkan puteranya yang bernama Long Sulaiman menjadi Raja pemerintah Kelantan. Seorang daripada puteranya bernama Long Yunus.
Serangan rebutan takhta berlaku beberapa kali dalam tahun 1756 yang akhirnya mangkatlah Long Sulaiman. Kemudian dilantik adik iparnya Long Pandak menjadi Sultan dan Long Muhamad adiknya menjadi Raja Muda, bersemayam di Kok Keranji.
Nyalalah api peperangan di Kubang Labu setelah baginda Long Pandak menikam Engku Pasir Mas isterinya, kerana cemburu kepada sepupunya Long Gaffar.
Kematian isterinya diketahui oleh Long Derahman. Angkatan Long Gaffar tiba dan memasuki Kota serta menikam Long Pandak sehingga membawa maut.
Long Gaffar mengangkat Long Muhamad ganti Long Pandak menjadi Raja dengan pesanan “rentahlah baik-baik, jika tidak ia akan datang kali kedua”.
Pada 1762, Long Gaffar bersama-sama Long Yunus berangkat ke Terengganu dengan membawa seekor ayam sabungan yang bernama “Bakas Racun”, kerana melawan ayam orang-orang Bugis.
Setelah mendapat kemenangan dan mendapat harta pertaruhan yang mengandungi tujuh buah jong lalu dipersembahkannya kepada Sultan Mansor Shah, Terengganu.
Pada masa itu Long Yunus berkahwin dengan Tuan Che Jumat puteri kepada Engku Tenang Wangsa.
Lima bulan kemudian, perkhabaran Long Muhamad yang memerintah di Kubang Labu berlaku zalim, maka Long Yunus berserta Long Gaffar berangkat balik ke Kelantan bersama-sama beberapa orang pahlawan yang dikurniakan oleh Sultan Mansor Shah, Terengganu.
Angkatan Baginda tiba di Pasir Puteh, dan ditempatkan Long Gaffar di Jeram. Baginda berangkat ke rumah Che Bu isteri Che Leh dan menemui pahlawan-pahlawannya yang bernama Penghulu Adas, Tok Sek dan Tok Mek yang telah sedia menunggunya.
Maka pada malam hari, Long Yunus dan Long Gaffar dengan pasukannya menyerang Kubang Labu kali yang kedua. Serangan itu membawa maut Long Muhamad dan jenazahnya dimakamkan di permakaman Gong Chepa di sebelah hilir Jalan Gajah Mati sekarang.
Pada akhir 1762 baginda Long Yunus ditabal menjadi Sultan pemerintah Kelantan dan Long Gaffar dikurniakan gelaran “Engku Maharaja Perdana Menteri” yang memerintah di kawasan Jeram sehingga ke Sungai Pasir Tumboh.
Baginda Long Yunus telah beroleh beberapa orang putera dan puteri, dan puterinya yang bernama Che Ku Tuan Nawi dikahwinkan dengan putera Yang di Pertuan Terengganu bernama Tengku Muhamad.
Dalam masa itu Long Gaffar mangkat dan dimakam di Limbat. Setahun kemudian, iaitu 1798, Baginda Long Yunus mangkat dan dimakam di Langgar, Kota Bharu.
Oleh sebab Baginda tiada melantik bakal serta tiada meninggal apa-apa wasiat, maka dilantik menantunya Tengku Muhammad Ibni Sultan Mansor, Terengganu menjadi Yang Di Pertuan Kelantan bagi sementara.
Dua tahun kemudian maka Long Muhamad putera sulong Long Yunus dengan bantuan saudaranya terpaksa menggunakan sedaya upaya untuk merebut balik takhta Kerajaan Kelantan dari tangan Tengku Muhamad kerana Baginda enggan menyerah balik.
Beberapa bulan kemudian Baginda Long Muhamad ditabal menjadi Sultan Kelantan dengan gelaran Sultan Muhamad I pada 1801. Baginda menghantar Pa’ Wan Muhmud sebagai utusan mengadap Raja Siam. Sebagai tanda perhubungan setia, diperbuat sejenis bunga emas yang dihantar tiga tahun sekali.
Baginda Sultan Muhamad I tidak ada mempunyai putera dan puteri, maka Baginda telah mengambil anak saudaranya bernama Long Senik Putera Long Tan (Temenggong Aria Pahlawan) dijadikan putera angkatnya.
Tengku Long Tan adalah anakanda kedua Baginda Long Yunus. Selain Long Senik, Long Tan juga mempunyai beberapa putera dan puteri. Baginda mangkat pada 835.
Pada masa itu Long Jenal, yang bergelar Raja Bendahara Banggol, dilantik menjadi pemerintah Negeri Kelantan atas kehendaknya.
Wasiat Baginda hendaklah ditabalkan Long Senik putera angkatnya menjadi Sultan setelah Baginda mangkat. Lebih kurang tujuh bulan Baginda Long Jenal memerintah Kelantan, berlakulah perang saudara dalam negeri.
Setelah selesai, maka Raja Siam bersukacita sehingga mengirimkan kepada Long Senik dengan persembahan alatan-alatan kebesaran Kerajaan termasuk persalinan dan pakaian kebesaran Negeri pada masa itu.
Pada 1837, Long Senik telah ditabal menjadi Sultan Kelantan dengan gelaran Sultan Muhamad II yang dikenali dengan nama Sultan Mulut Merah dan adinda baginda Long Nik menjadi raja muda bergelar Tengku Indra Petra Mahkota Mantri. Anakanda Long Nik iaitu Tengku Tuan Wok pula bergelar Tengku Seriwa Machang.
Baginda mangkat dalam tahun 1886 dan ditabalkan puteranya bernama Long Sulong menjadi Sultan dengan gelaran Sultan Ahmad dan adinda baginda Long Abdul Ja’afar sebagai raja muda bergelar Tengku Temenggong.
Anakanda Tengku Temenggong ini bergelar Tengku Ahmad Panglima Raja yang merupakan ayahanda kepada Sultanah Zanariah negeri Johor.
Sultan Ahmad mangkat pada 1889 dan ditabal puteranya bernama Long Kundor menjadi Sultan Kelantan bergelar Sultan Muhamad III yang dikenal dengan nama Raja Bendahara.
Pada 1890, sultan Muhammad III mangkat dengan meninggal empat orang putera dan empat puteri. Oleh sebab puteranya yang bernama Long Senik, bakal Sultan masih muda, maka ditabalkan saudaranya yang bernama Long Mansor menjadi Sultan bergelar Sultan Mansor. Sultan Mansor mangkat pada 1899 dengan tidak meninggal putera dan puteri.
Lanjutan itu, Tengku Long Senik menjalankan pemerintah negeri, dan pada 22 Jun 1911 baginda ditabalkan menjadi Sultan dengan gelaran Sultan Muhamad IV.
Sewaktu pemerintahan baginda Sultan Muhamad IV, adinda baginda Tuan Long Zainal Abidin ditabalkan menjadi Raja Muda Kelantan dengan gelaran Raja Dewa. Raja Dewa ini adalah nenda kepada Tengku Tan Sri Razaligh Tengku Hamzah, Tengku Sri Maharaja.
Baginda Sultan Muhamad IV mangkat pada 23 Disember1920, dan ditabal Tengku Ismail (Raja Kelantan), menjadi Sultan, serta dimahkotakan pada 28 April 1921.
Selama 24 tahun Baginda memerintah dengan membawa kemajuan yang tidak berputus-putus, maka pada 20 Jun 1944, mangkatlah Baginda di Istana Jahar, Kota Bharu dan dimakamkan di Langgar.
Baginda Al-Marhum Sultan Ismail tiada mempunyai putera dan puteri, maka paduka adindanya Tengku Ibrahim (Raja Kelantan) dimasyhur manjadi Sultan dengan gelaran Sultan Ibrahim pada 21 Jun 1944, dan dimahkotakan pada 31 Oktober 1944.
Baginda mempunyai ramai anakanda putera dan puteri. Anakanada sulung baginda adalah Tengku Abdullah Petra bergelar Raja Muda dan anakanda kedua adalah Tengku Yahya Petra bergelar Tengku Mahkota.
Sultan Ibrahim mangkat di Istana Seri Cemerlang pada 9 Julai 1960. Baginda telah meninggalkan 11 putera dan 13 puteri. Pada 11 Julai pemasyhuran perlantikan diisytiharkan Tengku Yahya Petra menjadi Sultan dan Yang Di Pertuan bagi Negeri Kelantan Darulnaim dan Jajahan Takluknya dengan gelaran Sultan Yahya Petra. Baginda dimahkotakan pada 17 Julai 1961, di Istana yang bersejarah iaitu Istana Balai Besar.
Baginda memerintah negeri Kelantan selama 19 tahun dengan aman dan sentosa. Baginda mangkat pada 29 Mac 1979 di Istana Negara, Kuala Lumpur ketika menyandang jawatan Yang di Pertuan Agong. Al-Marhum telah dikebumikan di Makan D’Raja Langgar, Kota Bharu, Kelantan.
Kerajaan baginda digantikan oleh putera tunggal baginda iaitu Tengku Ismail II Petra dengan gelaran Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra.
Takhta Tuanku Ismail Petra diambil alih oleh putera sulung baginda Tengku Muhammad Faris Petra pada 13 Sept 2010 akibat tidak mampu meneruskan fungsi sebagai Sultan disebabkan gering. Tengku Muhammad Faris Petra memilih menggunakan gelaran Sultan Muhammad V.
No comments:
Post a Comment