Sepanjang hidup seorang manusia, pasti akan ada kerisauan. Antara kerisauan yang sering menghantui manusia adalah berkaitan rezeki. Sememangnya persoalan rezeki mempunyai kesan yang amat besar dalam kehidupan manusia.
Antara solat sunat yang paling popular dalam kalangan umat Islam juga adalah berkaitan rezeki. Bukan salah tetapi itulah hakikatnya.
Bahkan, jika kita lihat pada
masyarakat yang percaya akan tok bomoh, tok pawang, pelaris, tangkal, dan
sebagainya, kebanyakannya berkaitan rezeki. Ya, ada yang sanggup melakukan
perkara khurafat demi rezeki mereka.
Setiap orang ada rezeki masing-masing di dunia ini. Firman Allah SWT dalam surah Hud, ayat 6 yang bermaksud, “Tidak ada satu makhluk pun yang bergerak di atas bumi ini yang tidak dijamin Allah rezekinya.”
Lebih banyak kita usaha, maka dengan izin Allah, lebih banyak rezeki yang akan dapat sebagaimana firman Allah SWT dalam surah an-Najm, ayat 39 yang bermaksud: “Tidaklah manusia mendapatkan apa-apa kecuali yang dikerjakannya.”
Bagaimanapun, kita perlu tahu setiap rezeki yang kita peroleh, ada hak dan bahagian orang lain. Ia bukannya milik kita secara mutlak. Barangkali ia juga milik ibu dan bapa kita, adik-beradik, saudara mara, orang susah dan golongan asnaf yang memerlukan.
Sedarkah kita bahawa rezeki kita dapat itu sebenarnya milik orang lain yang dberikan oleh melalui kita? Biasa kita dengan ungkapan dalam rezeki kita ada rezeki orang lain.
Ada kategori harta yang kita kongsikan dengan orang lain. Pertamanya, harta yang kita wajib kongsikan dengan orang lain.
Dengan kata lain, ia sebenarnya milik orang lain, tetapi berada di dalam milikan kita. Harta yang dimaksudkan ialah harta zakat.
Harta yang cukup syarat dikeluarkan zakat wajib diserahkan kepada mereka yang layak menerimanya iaitu golongan asnaf.
Jumlah harta yang wajib dikeluarkan zakat itu secara hukumnya tidak lagi menjadi milik kita. Ia mesti diserahkan kepada mereka yang sepatut menerimanya.
Kategori kedua harta milik kita yang ianggap dikongsi dengan orang lain ialah harta yang sepatutnya diserahkan kepada golongan yang selayaknya menerima harta itu sebagai sedekah.
Sedekah ialah pemberian kepada golongan fakir miskin atau mereka yang memerlukan bantuan. Jumlah yang diberikan kepada mereka ini tidak ditentukan jumlahnya asalkan dengan ikhlas diberikan.
Sedekah adalah sunat dan tidak menjadi sesuatu kesalahan jika tidak bersedekah. Melainkan dalam mana jika kita tidak memberi sedekah kepada penerima berkenaan akan menyebabkan sesuatu mudarat berlaku. Maka ketika itu adalah wajib kita membantu untuk mengelak mudarat itu.
Kategori ketiga harta kita yang turut dimiliki oleh orang lain ialah dengan cara memberi cenderahati atau membelanjakan sesuatu kepada orang lain.
Contohnya kita belanja makan rakan yang bukan di kalangan golongan miskin. Kita boleh belanja makan rakan yang lebih kaya atau lebih berada berbanding kita.
Tidak rugi kita berkongsi rezeki dengan orang lain. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 245 yang bermaksud, “Siapa yang memberi pinjaman pada jalan Allah, pinjaman yang baik (infak dan sedekah), maka Allah akan melipatgandakan pembayaran kepadanya dengan lipatan yang banyak.
Marilah kita sama-sama berkongsi rezeki kita dengan mereka yang memerlukan di sekeliling kita.
Mungkin ada jiran tetangga yang kelaparan kerana sudah putus bekalan makanan ataupun orang sekampung yang kehabisan susu untuk diberikan kepada anak kecil sehingga perlu diganti dengan air sirap.
Usah menuding jari kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau pusat zakat negeri kerana tidak membantu. Usah mengecam wakil rakyat atau penghulu kampung yang tidak sempat membantu.
Ada kalanya mereka dibantu tetapi masih tidak cukup. Anggaplah ini peluang bagi kita untuk menambah pahala.
Jom kongsi rezeki kita dengan mereka yang memerlukan. Sesungguhnya dalam rezeki kita, ada hak orang lain.
No comments:
Post a Comment