Tuesday, 19 January 2021

CARA BERI SALAM KETIKA ZIARAH RUMAH

Ziarah atau bertandang ke rumah jiran mahupun sesiapa sahaja satu amalan baik. Pun begitu, semasa ziarah, ada adab yang perlu diikut. Tidak boleh buat sesuka hati. Dalam Islam setiap perkara ada peraturan yang perlu diikuti agar ia menjadi sebagai ibadah dan memberi kebaikan. 

Islam menetapkan agar kita memberi salam terlebih dahulu apabila tiba di hadapan rumah seseorang yang ingin dilawati atau diziarahi. Banyak sebab mengapa perlu memberi salam.

Pertamanya untuk memberitahu kepada tuan rumah mengenai kedatangan kita.  

Keduanya, memberi peluang kepada penghuninya bersedia untuk menerima tetamu.  

Ketiganya, sebagai satu doa kepada penghuni rumah. Kedatangan tetamu adalah membawa rahmat kepada penghuni rumah.

Jika salam diberi sebanyak 3 kali dan tiada sebarang respon, maka pulanglah. Kita tidak perlu prejudis atau menganggap bukan-bukan tentang mengapa salam tidak berjawab. Mungkin tuan rumah memang tidak ada di rumah.  

Sebab lain mungkin tuan rumah sedang tidur dan tidak sedar atau tidak mendengar salam yang diberikan oleh tetamu.  

Mungkin juga, tuan rumah tidak sedia untuk menerima tetamu dan tidak membuka pintu biarpun salam itu dijawab.

Jika anda menziarahi rumah seseorang, pastikan anda tidak berdiri betul-betul di hadapan pintu rumah tersebut ketika menanti pintu rumah dibuka. Kita hendaklah berada di sisi kanan atau kiri pintu tersebut.

Ini adalah salah satu cara menghormati tuan rumah kerana berkemungkinan ketika tuan rumah menjenguk siapa yang berada di luar, tuan rumah dalam keadaan yang mengaibkan (mungkin tidak menutup aurat atau sebagainya).

Bayangkan jika kita berdiri betul-betul di hadapan pintu rumah tersebut, pasti tuan rumah atau kita sendiri yang malu.

Cara itu juga untuk mengelakkan tuan rumah merasa rendah diri atau aib jika tetamu melihat rumahnya dalam keadaan bersepah-sepah atau tidak terurus. 

Selagi tuan rumah tidak memberi keizinan untuk masuk, maka selagi itulah kita tidak boleh masuk. 

Biarpun hak tetamu perlu dilayan, hak tuan rumah sebenarnya lebih utama sama ada menerima tetamu atau sebaliknya. 

Adab ziarah juga perlu dipatuhi di mana lelaki tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah yang hanya di dalamnya terdapat perempuan. Ini bagi mengelak berlaku perkara tidak diingini seperti zina dan fitnah.

Kisah hubungan terlarang lelaki perempuan banyak berlaku apabila lelaki berkesempatan memasuki ke rumah perempuan yang keseorangan.  

Kes kongsi isteri jiran atau main isteri jiran bukan rahsia lagi, terutama di kejiranan kawasan bandar.

Soal hubungan kejiranan yang telah terjalin tidak sama sekali mengharuskan lelaki memasuki ke rumah perempuan tanpa ada lelaki muhrim bersama. 

Jagalah adab-adab hubungan kejiranan untuk mengekal perkara buruk berlaku.

No comments:

Post a Comment