Tuesday 22 November 2022

CARA MELIHAT KESEDIHAN BERGANTUNG KEKENTALAN JIWA

 
Perasan ceria dan duka silih berganti dalam kehidupan kita. Tahap ceria dan duka juga berbeza-beza. Ia sukar digambarkan melalui melihat keadaan fizikal semata-mata. Ia berada jauh dalam jiwa atau hati. Setiap orang mempunyai kekentalan jiwa yang tidak sama.
 
Dengan kata lain, ceria atau duka yang dialami oleh seseorang adalah disebabkan perasaan yang ada dalam dirinya sendiri. Pengaruh persekitaran hanya menjadi sebahagian punca kepada keadaan diri seseorang.
 
Perkara yang perlu diberi perhatian atau pengurusan diri ialah apabila berdepan dengan keadaan yang menyebabkan perasaan duka atau dukacita. Bagaimana seseorang melihat kepada sesuatu ujian itu menentukan bagaimana rasa derita yang ada dalam dirinya.
 
Kadar derita itu mengikut kadar perasaannya. Boleh jadi masalah yang sama menimpa insan yang lain, tetapi kadar derita kurang daripada insan yang lain disebabkan apa yang ada dalam jiwanya. Boleh jadi juga lebih, disebabkan jiwanya.
 
Maka, Islam mengajar kita sentiasa ingat bahawa semua penderitaan, kesusahan, kesedihan dan kesakitan itu ada pahala dan keampunan dosa. Juga ia pasti akan berakhir.
 
Doa dan tawakal yang hakiki, mengubati rasa derita. Bahkan perasaan derita itu boleh membawa insan ke dataran pengabdian dan hubungan yang indah antara hamba dan tuhannya.
 
Apabila kita dapat menguruskan persepsi terhadap kehidupan ini, kita akan dapat melihat derita dari sudut seseorang hamba Allah dan itu dapat mengurangkan kesakitan dunia.
 
Sebab itu, jangan mudah mempersoalkan keupayaan orang lain. Lebih baik kita membantu sekadar termampu, berbanding mempersoalkan kemampuan orang lain berdepan sesuatu situasi.
 
Bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kalau ada yang jatuh, bantulah dia bangkit kembali. Bukan terus ditekan dan dihina. Kalau ada yang gagal, berikan dia peluang untuk memperbaikinya, bukan terus didesak lepaskan jawatan.
 
Ingat, tiada orang yang suka kepada kegagalan. Gagal membawa bersama-sama rasa sedih dan duka. Sebab itu jangan melakukan provokasi dan tekanan kepada orang sedang berdepan kegagalan.

No comments:

Post a Comment