Malaysia dikenali sebagai negara
pengeksport telur. Pengeluaran telur negara pada waktu dahulu telah melebihi
100% sehingga boleh dieksport. Malaysia tersenarai pengeksport kelima terbesar
di dunia.
Namun pandemik Covid dan PKP telah
menyebabkan permintaan telur menurun dengan mendadak kerana sekolah, hotel,
kedai makan, kedai kek dan sebagainya tidak dapat beroperasi.
Akibatnya pengeluar telur terpaksa
mengurangkan kos operasinya dan terpaksa mengecilkan pengeluaran. Anak ayam
penelur yang baharu tidak dibeli, ramai pekerja mereka dihantar pulang ke negara
asal mereka.
Kebanyakan anak ayam penelur dibeli dari
luar negara. Anak ayam penelur perlukan dua bulan setengah untuk mula bertelur. Pada
usia 3 bulan, telurnya bersaiz kecil (size C dan D), pada usia 7 bulan ayam
penelur akan dijual sebagai ayam 'pencen' kerana produktivitinya telah menurun.
Apabila negara mula memasuki fasa pemulihan
Covid dan pelbagai sektor ekonomi mula dibuka, permintaan telur mula meningkat.
Waktu ini bekalan kurang, permintaan meningkat dan kesannya harga telur naik
mendadak.
Rakyat mula merungut kerana harga telur
semakin mahal. Kerajaan terdahulu ambil keputusan kenakan kawalan harga pada
telur supaya harga telur tidak naik mendadak.
Biasanya kawalan harga hanya dibuat pada
musim perayaan tetapi kerajaan telah mengenakan kawalan harga berterusan hingga
sekarang.
Kira-kira 80 peratus makanan ayam penelur adalah
jagung dan ianya diimport. Sejak setahun lalu harga jagung dunia naik berlipat
kali ganda dan penurunan nilai mata wang kita telah memburukkan lagi keadaan.
Situasi ini menyebabkan kos pengeluaran
telur naik mendadak dan banyak syarikat kecil terpaksa ditutup kerana tidak
mempunyai aliran tunai yang sihat. Kawalan harga menyebabkan pengeluar telur tidak
lagi mendapat keuntungan dan mula menanggung kerugian. Pengeluaran telur negara
berkurangan dari 120 peratus kepada 100 peratus sara diri.
Untuk mengurangkan kerugian pengeluar
telur, kerajaan terpaksa memberi subsidi RM200 juta sebulan kepada mereka.
Setahun kerajaan terpaksa menanggung hampir RM2.4 billion subsidi. Suatu jumlah
yang sangat banyak.
Harga makanan ayam terus meningkat sehingga
kini. Subsidi yang diberi tidak lagi mencukupi untuk menanggung kerugian
pengeluar telur.
Jadi pengeluar telur terpaksa mengeksport
telur mereka ke Singapura dan Hong Kong untuk meningkatkan pendapatan syarikat kerana harga telur yang dieksport lebih tinggi.
Keuntungan itu diguna untuk menampung kerugian yang mereka tanggung kerana
menjual telur dalam negara. Ada syarikat telur yang jualannya RM20 juta setahun
tetapi untung bersihnya hanya RM20 ribu sebulan.
Jika kerajaan menghentikan eksport, maka
lebih banyak pengeluar telur akan tutup kedai. Akibatnya bekalan telur dalam negara akan berkurangan dan keadaan akan jadi lebih meruncing.
Jika kerajaan menambah subsidi, maka lebih
banyak wang rakyat akan diguna untuk membayar subsidi. Dilema ini kita boleh
faham dengan mudah.
Jika kerajaan menarik balik kawalan harga,
harga telur akan naik mendadak. Rakyat sudah tentu akan marah.
Tahun hadapan ekonomi dunia dijangka akan
lebih mencabar. Negara kita pula tidak pernah mengimport telur. Jika apa-apa
berlaku pada pengeluar telur tempatan dan bekalan terus meruncing.
Suka atau tidak suka, kerajaan perlu ada
SOP dan pelan kontigensi untuk mengatasi sebarang kemungkinan. Maka idea
mengimport telur perlu dicuba supaya negara lebih bersedia untuk menghadapi
sebarang kemungkinan.
Pada 6 Disember 2022, kerajaan mengumumkan akan
import telur dari beberapa negara luar
untuk mencukupkan bekalan dalam negara. Dalam masa 10 hari, negara berjaya membawa
masuk telur dari sumber luar. Langkah import ini hanyalah langkah sementara.
Teorinya mudah. Apabila bekalan telur sudah
melebihi permintaan, harga telur akan turun. Apabila harga telah stabil, kerajaan
tidak perlu lagi mengawal harga dan memberikan subsidi. Wang negara dapat
dijimatkan. Penjimatan ini boleh diguna untuk membangunkan lebih banyak
usahawan telur ayam.
Semua syarikat yang berminat mengimport
telur boleh memohon kepada kerajaan. Tiada monopoli dalam urusan ini. Semuanya
telus. Namun perlu ingat, kebenaran import ini akan dikaji semula apabila
bekalan telur kembali stabil. Dalam tempoh 6 bulan akan datang mungkin kerajaan
tidak membenarkan lagi telur diimport.
Untuk mencukupkan semula bekalan telur ayam negara, sekurang-kurangnya akan mengambil masa setahun kerana ia melibatkan
beberapa kementerian.
Misalnya isu kekurangan pekerja melibatkan
Kementerian Sumber Manusia. Isu kawalan harga melibatkan KPDN, projek pembukaan
ladang penelur baharu melibatkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan isu subsidi bersasar untuk rakyat
termiskin melibatkan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan.
Untuk makluman negara kita sudah pun ada
pelan jangka pendek dan pelan jangka panjang yang komprehensif. Ianya sudah pun
mula dilaksanakan satu persatu.
Keutamaan Kerajaan Perpaduan hari ini untuk
memastikan keterjaminan makanan negara dan nasib rakyat terus terbela tidak
wajar dipertikaikan.
Moga catatan ini dapat memberikan sedikit
pencerahan pada semua.
Sumber – Media sosial
No comments:
Post a Comment