Tuesday 24 January 2023

TUNTUT HAK KEBEBASAN PERLU IKUT ACUAN

 
Di negara kita Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf dan menjamin hak asasi manusia. Ini bermakna Perlembagaan Persekutuan mendukung prinsip hak kebebasan seperti yang terkandung dalam Bahagian 2: Kebebasan Asasi (Perkara 5-13).
 
Hak-hak Asasi tersebut selari dengan Perisytiharan Hak-hak Asasi Manusia Sejagat (HAM) 1948, iaitu dalam Artikel 19, 20 dan 21 (HAM) yang menekankan setiap individu memiliki hak kepada pendapat dan penyuaraan, kebebasan berhimpun dan berpersatuan, hak untuk mengambil bahagian dalam negara secara langsung atau wakil yang dipilih secara bebas serta hak terhadap khidmat awam dan negara.
 
Isu berkaitan hak asasi memang sering menjadi polimik bukan saja di Malysia, bahkan lebih-lebih lagi di negara Barat. Perjuangan kumpulan hak asasi dan kebebasan manusia ini mengguna maksud 'hak dan bebas' untuk melakukan apa saja yang diingini.

Justeru, apabila apa yang ingin dilakukan dihalang oleh undang-undang, maka mereka akan memprotes dan membawa kes ke mahkamah atas alasan untuk mendapat keadilan.

Di kebanyakan negara Barat, kumpulan hak asasi manusia ini membentuk kuasa mendesak yang kuat sehingga banyak permintaan mereka ditunai atau diluluskan, termasuk dalam perkara yang bertentangan dengan tabie manusia seperti perkahwinan sejenis. 

Mengambil contoh apa yang berlaku di Barat, terdapat individu dan kumpulan di Malaysia ingin memperjuangan perkara yang sama. Mereka menjadikan alasan peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan HAM sebagai asas menuntut hak.
 
Contoh berkaitan kebebasan bercakap dan berhimpun, kumpulan ini merujuk kepada Perkara 10 yang memberi kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuhkan persatuan. Namun, perlu diingatkan, Perkara 10 yang difahami oleh oleh golongan itu seperti apa yang diterima pakai di Barat.

Perlembagaan Persekutuan kita mempunyai acuan tersendiri dan perlu dilihat dari sudut yang jauh berbeza dengan amalan di Barat. Justeru, biar apapun tanggapan dan harapan daripada golongan menuntut kebebasan bercakap dan berhimpun ala Barat dan HAM, Perlembagaan Persekutuan ada pendekatan tersendiri.  

Maka, biarpun ada pihak luar mempetikaikan amalan hak kebebasan di negara kita, Perlembagaan Persekutuan tetap mempertahankan amalan yang diterima di Malaysia. 
 
Apa yang diamalkan di Malaysia bertepatan dengan pandangan Lady Wooton, pakar sosiologi AS menyatakan undang-undang perlu dihadkan kepada perlakuan dan tindakan yang memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan masyarakat dan negara.

Mana-mana perlakuan yang tidak ada hubungan dengan soal kesejahteraan negara tetapi dilihat tidak selari dengan tatasusila dan nilai peradaban masyarakat perlu diselesaikan dengan 'sanksi' (sanction) masyarakat.
 
Satu perkara yang harus difahami ialah, perlembagaan dan undang-undang tidak sepatutnya dilihat dari aspek takrifan yang literal kepada peruntukan-peruntukannya semata- mata, tetapi ia juga ia mengandungi dan mendukung falsafah tertentu.
 
Kes-kes mahkamah dalam membincangkan soal kebebasan ini sering merujuk kepada roh Perlembagaan Persekutuan dalam mempertahakan kepentingan dan keselamatan rakayat.

Mahkamah membuat interpitasi soal kebebasan berdasarkan kepada kehendak asal Perlembagaan Pesekutuan yang menekankan kepada keadilan sosial di Malaysia dan tidak terikat kepada cara dan pemikiran yang diamalkan di Barat. 

Amalan kebebasan di Barat tidak sesuai diamalkan sepenuhnya di Malaysia berdasarkan kepada permasalaan dan kepentingan setempat.

No comments:

Post a Comment