Monday 2 January 2023

PADAMKAN MARAK API KEBENCIAN

 
Banyak negara di dunia berakhir dengan perang saudara kerana rakyatnya memilih untuk berbalah, bertelagah, bersengketa dan berkonfrontasi atas faktor-faktor perbezaan kasta, kaum, warna kulit dan agama.
 
Jika perbezaan yang mahu diberikan fokus, maka kita sebenarnya memilih untuk melahirkan warga yang akan berselisih, berkonflik dan berpecah belah.
 
Jika kita mahu memperbesarkan perbezaan, kita sebenarnya telah memilih membina tembok pemisah untuk tidak memungkinkan terbinanya masyarakat yang bersatu.
 
Sepatutnya usaha dilakukan ke arah membina masyarakat yang menerima dan meraikan perbezaan, masyarakat yang menghormati realiti kepelbagaian, dan masyarakat yang melihat kepelbagaian secara positif yang mengandungi kekayaan dan kekuatan.
 
Politik negara kita tidak pernah sunyi daripada pergolakan. Saban tahun sejak kemerdekaan pada 1957 pelbagai isu tercatat dengan kebanyakannya membawa perubahan dalam senario politik negara.
 
Ia juga membawa perubahan kepada kepemimpinan pentadbiran negara. Ia memberi pelbagai kesan kepada negara dan pentadbiran yang secara langsung memberi kesan kepada pembangunan dan kemajuan negara serta rakyat.
 
Tidak dinafikan negara makin membangun, makin maju dalam pelbagai bidang dan rakyat menikmati beribu manfaat. Namun, dalam tempoh kejayaan demi kejayaan, negara menghadapi pelbagai cabaran sehingga ke hari ini. Kemelut politik negara semakin teruk tahun demi tahun.
 
Api kemarahan politik terus membara umpama api dalm sekam yang terus membakar biarpun secara umumnya tidak kelihatan.
 
Kebakaran politik ini membawa kemusnahan kepada negara dan rakyat dengan api sekam yang semakin menampakkan kesan bakarnya yang sekali sekala menampakkan api marak dalam alam.

Ia perlu dipadamkan segera. Jangan ada lagi yang mencurah minyak atau meniup supaya api terus menyala. Cukup sudah dan tidak perlu dinyalakan api politik perkauman dan menggunakan agama untuk kemenangan politik
 
Rakyat pun sudah penat dengan politik toksik yang bukan sahaja menggugat perpaduan, malah menjejaskan kemajuan dan pembangunan negara.
 
Kita sudah jauh ketinggalan akibat api politik sempit, fitnah, kebobrokan dan tipu daya semata-mata mahu berkuasa dan kepentingan sendiri serta satu agama dan satu kaum sahaja.



No comments:

Post a Comment