Saturday 11 February 2023

MUDAHNYA HENDAK BUAT BAIK

 
Dalam hidup ini kita perlu melakukan sebanyak mungkin kebaikan dan menjauhkan perkara buruk. Kebaikan yang dilakukan tidak semestinya besar atau memberi kesan yang hebat.
 
Berbuat baiklah walaupun ringan, semudah senyum atau menunjukkan muka manis.
 
Nabi SAW bersabda bermaksud: "Janganlah kamu meremehkan kebaikan sedikitpun, (lakukanlah) walaupun kamu hanya bermanis muka (senyum) kepada saudaramu ketika bertemu."  (Hadis riwayat Muslim)
 
Allah SWT amat menggalakkan berbuat baik. Melakukan perkara baik sebahagian cara untuk mendapat keampunan daripada Allah SWT dan digantikan dengan kebaikan.
 
Firman Allah SWT bermaksud: "Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal yang baik) untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar." (Surah Al-Hadid, ayat 21)
 
Melakukan kebaikan secara bersungguh-sungguh dapat mengelak diri daripada fitnah kehidupan. Ada orang sanggup mengetepikan suruhan agama semata-mata untuk mendapat habuan dunia yang sedikit.
 
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Bersegeralah kamu mengerjakan amal soleh, kerana akan berlaku fitnah seperti malam yang sangat gelita. Di dalam keadaan itu terdapat orang yang di sebelah paginya Mukmin dan sebelah petangnya kafir, begitulah (sebaliknya) sebelah petang dia Mukmin dan sebelah paginya kafir, dia menjual agamanya dengan kepentingan dunia yang sedikit." (Hadis riwayat Bukhari)
 
Cara berbuat baik, selain senyum ialah doa kebaikan. Rasulullah SAW dalam sabda baginda bermaksud: "Sesiapa yang telah mendapat kebaikan daripada seseorang, lalu dia berkata kepada pelaku kebaikan tersebut, 'Jazakallahu khaira', bererti dia telah memujinya (telah berterima kasih kepadanya dengan memujinya)." (Hadis riwayat Tirmizi)

No comments:

Post a Comment