Monday 23 October 2023

HIDUP MUSLIM BERPAKSIKAN NILAI MURNI

 
Manusia mendapat kedudukan istimewa berbanding makhluk lain. Meskipun begitu, kegagalan manusia memenuhi tanggungjawabnya sebagai insan dalam kaca mata Islam akan meruntuhkan pengiktirafan berkenaan sehingga darjat manusia sama saja dengan status haiwan.
 
Dalam konteks agama Islam, ruang lingkup amalannya perlu diharmonikan dengan nilai murni yang perlu dihayati dan dibudayakan oleh setiap individu Muslim agar kejayaan yang ingin dicapai benar-benar menepati falsafahnya.
 
Keperluan kepada nilai itu penting kepada setiap insan dalam merangka kehidupan manusia yang seimbang dari aspek rohani, spiritual dan intelektual. Dalam mengurus institusi manusia amnya, elemen agama, akhlak dan etika perlu diberi keutamaan.
 
Elemen yang dinyatakan ini menjadi asas yang bersifat fundamental dalam proses membangunkan nilai-nilai kemanusiaan positif. Ia perlu diolah secara kreatif dan komprehensif supaya pemahaman nilai-nilai murni yang berteraskan nilai rohaniah dapat diseimbangkan dengan faktor pematuhan, penghayatan dan pengamalan.
 
Banyak kepincangan berlaku dalam institusi masyarakat antaranya adalah disebabkan oleh mengutamakan nilai materialistik, bersifat individualistik, terpengaruh dengan faktor peredaran semasa serta nilai negatif lain. Oleh yang demikian, tidak menghairankan sekiranya pihak pemerintah begitu menekankan penghayatan nilai-nilai murni di kalangan masyarakat.
 
Realitinya, kepentingan nilai-nilai murni perlu dijadikan agenda keutamaan dalam proses membangunkan institusi manusia. Hal yang demikian disebabkan agama adalah kemuncak keutamaan bagi manusia dan agama juga menjadi petunjuk hakiki kepada kejayaan dikecapi manusia.
 
Kehidupan manusia perlu dibimbing dengan panduan wahyu supaya setiap tindakannya sentiasa bertepatan dengan tuntutan keagamaan dan selari dengan fitrah kemanusiaan. Manusia yang terpinggir dengan pedoman wahyu sering kali melanggar arahan dan peraturan agama serta bertindak di luar norma kemanusiaan demi memenuhi cita-citanya atas desakan hawa nafsu.
 
Sebaliknya, individu Muslim yang beriman sentiasa bertindak berasaskan nilai-nilai mahmudah yang diutarakan oleh Islam dan sentiasa berhati-hati dalam tindak-tanduknya. Golongan manusia sedemikian bukan saja mempunyai personaliti dan akhlak terpuji sesama manusia, malah pada masa sama, mereka juga memiliki adab yang baik dengan Allah SWT.
 
Ironinya, inilah keistimewaan dan keunikan sistem agama yang berteraskan order tauhid rabbani. Sistem ini dihormati dan diiktiraf oleh manusia atas sifatnya yang sejagat dalam memelihara keharmonian dan ketenteraman manusia bukan saja di alam dunia bahkan berkesinambungan di alam akhirat.
 
Meskipun nilai-nilai murni dilihat sebagai subjektif, mengetepikan nilai moral rohaniah akan menjadi pembangunan insan tidak bersifat holistik. Ini kerana, dengan mengabaikan nilai-nilai luhur yang mempengaruhi tingkah laku manusia ia akan memberi dampak negatif kepada kerangka perhubungan manusia sesama manusia secara bersepadu.
 
Justeru, nilai murni yang bersumberkan nilai rohaniah menjadi formula terbaik untuk mendidik masyarakat mengenai nilai-nilai fitrah kemanusiaan yang murni, menyedarkan manusia mengenai hak dan tanggungjawab sosial lain.

No comments:

Post a Comment