Sunday 29 October 2023

JANGAN TERLALU MENGHARAP PERTOLONGAN ORANG LAIN

 
Islam menganjurkan umatnya agar saling tolong menolong. Besar manfaat dan pahala mereka yang menolong sesiapa yang memerlukan pertolongan.
 
Pun begitu, jangan kita terlalu bergantung harap kepada orang lain untuk memenuhi keperluan hidup. Berusahalah dengan bersungguh-sungguh. Terlalu bergantung harap kepada pertolongan pihak lain memang tidak elok. Banyak keburukannya.
 
Kata Ibnu Taimiyah: "Jangan pernah bergantung terlalu banyak kepada siapapun di dunia ini. Kerana bahkan bayangan milikmu sendiri akan meninggalkanmu saat kamu berada di dalam kegelapan"
 
Menjadi sunnatullah bahawa rezeki tidak dapat diperoleh kecuali dengan usaha dan kerja keras seseorang. Islam menyeru manusia mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti ekonomi seperti sektor pertanian, perikanan, perindustrian, perniagaan dan perkhidmatan.
 
Firman Allah SWT bermaksud: "Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jugalah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmat-Nya dan takutilah kemurkaan-Nya)." (Surah al-Mulk, ayat 15)
 
Allah SWT menjadikan rezeki daripadaNya sebagai hasil kejayaan usaha manusia di muka bumi ini. Sudah tentu sesiapa yang berusaha dan bekerja, berhak untuk mendapatkan rezeki daripada Allah SWT dan sesiapa yang tidak bekerja maka dia tidak berhak mendapatkannya.
 
Islam memandang tinggi pekerjaan duniawi seperti ini dan meletakkannya sebagai ibadah dan jihad di jalan-Nya. Ia akan menjadi ibadah jika dilakukan dengan ikhlas dan pekerjaan itu tidak menghalang kita daripada mengingati Allah SWT serta hari pertemuan dengan-Nya.
 
Usaha dan pekerjaan inilah yang membantu kita menegakkan agama dan memenuhi keperluan keluarga serta orang yang memerlukan. Hal ini adalah tuntutan agama dan ia tidak boleh dicapai kecuali dengan harta serta wang ringgit.
 
Justeru, manusia tidak akan mendapatkannya kecuali dengan usaha dan kerja keras. Tidak hairanlah banyak nas agama menyeru manusia kepada usaha dan kerja keras sehingga ia menjadikannya setaraf solat, sedekah serta jihad di jalan Allah.
 
Pekerjaan bukan saja penting bagi individu tetapi juga kemaslahatan masyarakat. Maka tidak patut seorang Muslim hidup dengan cara meminta-minta tanpa berusaha. Dengan bekerja, seseorang itu dapat menjaga maruah diri dan pada masa sama tangan nya tidak selama-lamanya berada di bawah.
 
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Jika salah seorang daripada kamu mengambil tali kemudian pergi ke gunung lalu kembali dengan seikat kayu api di belakangnya, lalu menjualnya dan dengan itu Allah menjaga air mukanya, adalah lebih baik baginya daripada meminta-minta daripada orang ramai sama ada diberi ataupun tidak." (Hadis riwayat Bukhari)
 
Andai kata seseorang berasakan tidak perlu bekerja kerana kekayaan yang melimpah ruah, maka dia harus bekerja untuk masyarakat dan umat. Walaupun bekerja termasuk dalam perkara yang harus, namun apabila ditinjau dari sisi lain, ia adalah wajib kerana manusia tidak dapat mendirikan ibadah kecuali dengan menyelesaikan keperluan hidupnya terlebih dulu.
 
Imam Ar-Raghib Al-Asfahani berkata, sesiapa yang tidak mahu bekerja dan berusaha maka dia terlepas daripada darjat kemanusiaan bahkan terkeluar dari golongan haiwan dan masuklah dia dalam golongan benda-benda mati.
 
Seorang lelaki berjalan di hadapan Abu Darda, sahabat yang terkenal dengan kezuhudannya. Orang tersebut melihat Abu Darda sedang menanam pokok kurma walhal usia sudah lanjut.
 
Maka lelaki itu bertanya, "Mengapa kamu menanam pokok kurma sedangkan kamu sudah lanjut usia dan pokok ini pula tidak berbuah kecuali setelah beberapa tahun? Lalu Abu Darda menjawab: Apa salahnya jika saya mendapat pahala daripadanya disebabkan orang lain memakan buahnya."

No comments:

Post a Comment