Friday 21 June 2024

KEDUDUKAN MALAYSIA DALAM WCR LEBIH RENDAH

 
Kedudukan Malaysia dalam World Competitiveness Ranking (WCR) 2024 lebih rendah berbanding tahun 2023 ada sebab munasabah. Jadi, Malaysia tidak perlu panik.
 
WCR hanyalah salah satu kayu pengukur. Ada banyak lagi kayu pengukur daya saing yang lain di peringkat global, seperti Global Competitiveness Report (GCR), Global Innovation Index (GII), Economic Freedom Index, dan lain-lain.
 
Tapi pada masa yang sama tidak bermakna kita akan abaikan dapatan WCR ni. Semua kayu pengukur ni boleh dijadikan indikator untuk kita meningkatkan lagi prestasi negara. Satu lagi kita kena ingat, ranking WCR tahun 2024 ini kebanyakannya berdasarkan data 2023.
 
Jadi, kedudukan dalam WCR 2024 mencerminkan prestasi Malaysia pada 2023 berbanding 2022. Tapi ada beberapa komponen yang sebenarnya sudah meningkat tahun ini dan insya-Allah akan dicerminkan dalam ranking tahun depan.
 
Antara faktor penurunan prestasi WCR 2024 ialah:
- Ketidaktentuan dalam kestabilan kadar pertukaran mata wang
- Penurunan eksport produk berteknologi tinggi
- Peningkatan subsidi kerajaan
 
Ketidaktentuan dalam kestabilan kadar pertukaran mata wang. Pada WCR 2024, kita di tangga ke-30 berbanding tangga ke 2 pada WCR 2023. Ini secara langsung mempengaruhi 25% skor keseluruhan kerana kadar pertukaran mata wang mempengaruhi 63/256 indikator penilaian. Pertumbuhan ekonomi yang stabil, kadar pengangguran yang terus berkurangan, serta inflasi yang terkawal akan meningkatkan kedudukan Malaysia pada masa akan datang.
 
Penurunan eksport produk berteknologi tinggi Penurunan permintaan global dan peningkatan persaingan global turut menjejaskan negara lain seperti China, Korea dan Jepun. Pelaburan baru tahun ini akan mula memberi impak dalam masa 12 bulan.
Unjuran peningkatan jualan semikonduktor global tahunan sebanyak 16 peratus pada 2024 dan 12.5 peratus pada 2025 akan memanfaatkan Malaysia sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia.
 
Peningkatan subsidi kerajaan. Untuk tahun 2023, Kerajaan bajetkan RM64 bilion untuk subsidi tapi perbelanjaan sebenar ialah RM81 bilion, 26 peratus lebih tinggi daripada yang dibajetkan. Antara sebabnya ialah kenaikan mendadak bahan api ekoran konflik Ukraine-Rusia. Negara lain juga terkesan tapi subsidi mereka tidak sebesar macam Malaysia, jadi perbelanjaan kerajaan negara lain tak naik tinggi macam Malaysia.
 
Dengan pendekatan subsidi bersasar, golongan yang memerlukan masih terus dibantu tapi pada masa yang sama, kita dapat mengurangkan risiko lonjakan perbelanjaan Kerajaan.
Penjimatan daripada langkah-langkah ini juga dapat disalurkan kepada program sosial lain untuk menyokong ekonomi Malaysia.
 
Dalam usaha meningkatkan daya saing Malaysia, amalan terbaik daripada 12 ekonomi paling berdaya saing akan dijadikan penanda aras untuk langkah penambahbaikan.
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), agensi di bawah MITI akan bekerjasama dan melibatkan semua kementerian dan agensi kerajaan berkaitan untuk melaksanakan analisis bersepadu bagi mengenal pasti punca-punca utama kemerosotan ranking Malaysia, dan akan merangka cadangan peningkatan daya saing negara yang bersesuaian.
 
Oleh:
Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz 

No comments:

Post a Comment