Sunday 21 July 2024

MENGAPA PERLU MENGUNYAH MAKANAN

 
Mengunyah makanan adalah penting supaya makanan yang kita makan dapat dihadam dengan baik. Hidangan makanan sepatutnya dinikmati ketika kita sedang duduk, dalam suasana yang tenang supaya makanan dapat dikunyah secukupnya.
 
Mengunyah adalah langkah pertama untuk makanan dihadam. Makanan yang dikunyah membantu perut untuk memprosesnya dengan memecahkannya dari ketulan besar kepada yang lebih kecil.
 
Mengunyah juga meningkatkan rembesan air liur yang membantu ketulan makanan ditelan dengan mudah melalui proses peristalsis di esofagus.
 
Sekiranya makanan tidak dikunyah dengan betul, ketulan makanan yang besar itu memasuki sistem penghadaman dan menyebabkan simptom seperti sebu, kembung bak cakap orang kita, pening, loya dan sembelit. Malah kita boleh terasa macam letih dan lesu.
 
Lagi banyak kali kita mengunyah, lagi banyak enzim yang terlibat dalam proses pencernaan. Dengan adanya enzim ni dengan cukup banyak, makanan yang dimakan boleh dipecahkan kepada saiz yang lebih kecil.
 
Dengan mengunyah juga, asid hidroklorik di dalam perut yang turut membantu makanan dicernakan.
 
Dengan memecahkan makanan menjadi partikel yang kecil bermakna penyerapan nutrisi termasuklah vitamin dan mineral di dalam usus menjadi lebih mudah.
 
Lagi banyak kali kita mengunyah makanan kita, lebih lama masa yang diambil untuk kita habiskannya. Secara amnya, dalam masa lebih kurang 20 minit waktu kita makan, otak kita akan menghantar signal kepada perut sebagai tanda yang sebenarnya kita sudah kenyang. Maka, bila kita makan perlahan-lahan, dapatlah kita mengawal kuantiti makanan kita supaya tidak terlebih dari sepatutnya.
 
Mengunyah makanan meningkatkan rembesan air liur yang mengandungi sejenis hormon Epithelial Growth Factor yang membantu pertumbuhan dan pembaikan tisu epitelial yang seterusnya menjadikan lapisan usus kita sentiasa dalam keadaan baik.
 
Partikel makanan yang tak dicernakan dengan betul boleh menyebabkan pembiakan bakteria yang berleluasa di usus besar. Bakteria ni bila mencernakan makanan, ia sebenarnya adalah proses fermentasi yang hujungnya gas terhasil. Itulah sebabnya kita mengalami seperti kembung. Orang kita kata masuk angin gitu. Bukannya angin yang masuk, tapi ia adalah gas daripada kegiatan bakteria dalam usus besar.
 
Kesimpulannya, berapa kali sepatutnya nak dikunyah makanan untuk penghadaman yang bagus? Bergantung pada jenis makanan. Secara amnya 32 kali.
 
Makanan yang lebih susah hendak dikunyah, macam ketulan daging atau kekacang keras, yang penuh mulut, dalam 40 kali. Tapi buah yang lembut, 5 - 10 kali pun sudah cukup.
 
Oleh – Rusyainie Ramli 

Gambar suro sekadar hiasan 

No comments:

Post a Comment