Kumbang badak (Oryctes rhinoceros) merupakan serangga perosak yang menyerang pokok sawit pada peringkat awal tanaman. Ia membiak di dalam reputan sisa tanaman seperti batang sawit, tandan kosong sawit, serat sawit dan bahan organik yang lain. Kumbang badak dewasa mempunyai tanduk tunggal di bahagian kepala.
Kumbang dewasa berwarna hitam keperangan dan bertanduk tunggal. Sebab itu ia juga dikenali dengan nama kumbang tanduk. Dalam dialek Kelantan dipanggil kabur badak. Kumbang dalam dialek Kelantan dipanggil kabur. Manakala dipanggil kumbang badak kerana tanduknya seperti tanduk badak.
Tempoh hidup kumbang dewasa betina adalah sembilan bulan dan jantan selama enam bulan. Perbezaan antara kumbang badak betina dan jantan dapat dikenal pasti secara fizikal. Kumbang betina mempunyai struktur berbulu di belakang abdomen manakala kumbang jantan tanpa struktur bulu.
Kumbang dewasa menyerang dan menyebabkan kerosakan pada pokok sawit. Serangan kumbang badak biasanya lebih teruk ke atas pokok sawit muda berumur antara satu hingga tiga tahun berbanding pokok sawit matang.
Kumbang dewasa menyerang pokok sawit dengan mengorek bahagian pangkal pelepah menggunakan tanduknya hingga ke bahagian tisu umbut yang lembut untuk menghisap cairan pada tisu tersebut. Ini akan meninggalkan serabut gentian di luar lubang yang dikoreknya.
Kesan serangan menyebabkan kerosakan daun muda yang keluar berbentuk seperti kipas pada bahagian hujungnya. Akibat daripada lubang pada pelepah menyebabkan pelepah patah. Kesan serangan yang teruk boleh mengurangkan hasil sawit sehingga 25% kerana pokok sawit lambat matang atau mati.
Selain menyerang pokok kelapa sawit, kumbang tanduk juga merosakkan pokok jenis palma lain seperti pokok kelapa.
No comments:
Post a Comment