Sunday, 25 April 2021

MAKSUD DAN JENIS TALAK

Perkataan ‘talak’ berasal bahasa Arab membawa makna 'menguraikan' atau 'melepaskan daripada ikatan'. Terdapat dua bentuk lafaz talak iaitu talak sarih dan talak kinayah.

Talak sarih, yakni lafaz yang jelas dengan bahasa yang berterus-terang seperti “Saya talak awak” atau “Saya ceraikan awak” atau “Saya lepaskan awak daripada menjadi isteri saya” dan sebagainya. Lafaz jelas seperti ini hukumnya telah berlaku talak walaupun tanpa niat untuk melakukan sedemikian.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tiga perkara sungguhnya adalah sungguh dan gurauannya juga adalah sungguh, iaitu nikah, talak dan rujuk.” (Hadis riwayat Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah).

Berkata Imam al-Khattabi: "Telah sepakat ulama bahawa lafaz talak yang sarih jika dituturkan oleh seorang lelaki (yakni suami) yang baligh (sampai umur) dan berakal, ia diambil perkiraan dengannya dan tidak berguna ucapannya "Aku mengucapkan main-main sahaja atau hanya gurauan atau aku tidak berniat talak dengannya" atau alasan-alasan lain seumpamanya" (Aunul-Ma'bud, kitab at-Thalaq, bab at-Thalaq fi al-Hazl, hadis no. 2194).

Talak kinayah, yakni lafaz yang digunakan secara sindiran oleh suami seperti “Pergilah awak ke rumah mak awak” atau “Pergilah awak dari sini” atau “Saya benci melihat muka awak” dan sebagainya.

Lafaz seperti ini hukumnya tidak jatuh talak melainkan suami memang mempunyai niat yang sebegitu. Dengan kata lain, lafaz kinayah memerlukan niat si suami iaitu jika berniat talak, maka jatuhlah talak tetapi jika tidak berniat talak, maka tidak berlaku talak.

No comments:

Post a Comment