Gelaran penyair amat gah di mata khalayak. Majlis bacaan puisi sentiasa diadakan dan turut melibatkan kenamaan, ahli akademik dan tokoh perniagaan.
Namun, penyair sekadar berbangga dan mendapat kepuasan membaca puisi. Membincangkan soal imbuhan atau bayaran tampil membaca puisi di mana-mana majlis sekadar satu tajuk terpencil tetapi telah lama diperkatakan.
Hakikatnya, golongan penyair (penulis dan pembaca puisi) tidak boleh berbangga dari segi kewangan, walaupun dia seorang penyair terkenal tanah air. Bayaran untuk penghasilan puisi dan pembacaan puisi masih terlalu murah. Lebih malang lagi, banyak akhbar dan majalah kini tidak lagi menyediakan ruangan untuk puisi.
Mari kita bandingkan bayaran diterima penyair dengan penyanyi. Ternyata jumlah diterima penyanyi jauh lebih besar.
Hakikatnya bayaran untuk seorang penyanyi ternama boleh dibayar untuk beberapa puluh orang penyair. Sedangkan masa menyanyi lebih kurang sama panjang dengan penyair membaca puisi.
Masalah ini hampir tidak berhujung. Realitinya, penulis dan pembaca puisi terpaksa menerima apa yang berlaku, melainkan mereka melakukan sesuatu luar biasa.
Umumnya khalayak masih belum memahami puisi. Tidak ramai pembaca menanti-nantikan ruangan puisi. Ada atau tidak ruangan puisi di akhbar dan majalah tidak menjadi penting.
Pertandingan baca puisi peringkat kebangsaan yang disertai tokoh-tokoh penyair terkenal belum layak mendapat hak penyiaran secara langsung stesen televisyen. Sedangkan pertandingan nyanyian kanak-kanak pernah disiarkan secara langsung.
Bukan saja tidak mendapat siaran langsung, pertandingan puisi sukar untuk mendapat siaran tertangguh di televisyen, maupun radio. Ini membuktikan program berkaitan puisi masih tidak mendapat tempat di hati khalayak.
Begitu juga soal kehadiran penyair dalam sesuatu majlis. Tidak ramai khalayak berminat mengenali penyair dan mendengarnya membaca puisi, kecuali di kalangan peminat puisi yang tidak seberapa kerat.
Orang yang minat membaca dan mendengar puisi adalah di kalangan kelompok sesama mereka, penulis dan pembaca puisi sendiri. Golongan pelajar dan remaja ‘jiwa-jiwa’ turut meminatinya, tetapi hilang apabila meningkat dewasa.
Sekiranya ingin mengangkat martabat penyair, perlulah dahulu dunia puisi diangkat kedudukannya. Penulis dan penyair perlu melakukan sesuatu biar khalayak tidak senang duduk jika tidak membaca atau mendengar puisi.
Puisi yang ditulis dan dibaca umpama barang dagangan. Jika permintaannya tinggi, nilainya pasti tinggi. Sebaliknya jika tiada permintaan, ia tidak bernilai langsung.
Penyanyi mendapat bayaran tinggi bukan kerana ada pengurus. Penyanyi boleh ‘letak harga’ sebab permintaan tinggi. Itupun jika penyanyi sudah ternama. Bagi penyanyi baru, nasib diterima sama seperti penyair.
Dengan kata lain, populariti menjadi asas kepada berapa bayaran diterima. Ia bukan sekadar penyanyi dan penyair, tetapi dalam semua bidang. Tok joro dikir terkenal sudah pasti menerima bayaran lebih tinggi berbanding yang tidak popular. Begitu juga pencermah politik dan penceramah motivasi.
Sekiranya penyair ingin mendapat bayaran labih tinggi, perlulah mereka jadi terkenal. Bukan sekadar terkenal di kalangan penyair saja, tetapi terkenal seperti penyanyi yang diminati semua golongan masyarakat.
Jika sudah terkenal dan orang sentiasa ingin dengar baca puisi, sudah pasti penyair boleh menentukan bayaran selayaknya. Orang sanggup membayar tinggi jika kehadiran penyair boleh menjayakan dan memeriahkan majlis diadakan.
Sekarang ini semua majlis atau program yang diadakan adalah ‘perniagaan’ dan ‘lambang’. Berjaya atau gagal majlis bergantung kepada bilangan khalayak yang datang. Ia adalah maruah dan kedudukan pihak penganjur.
Juga, penganjur sanggup membayar mahal kepada sesiapa yang dapat menarik lebih ramai khalayak untuk hadir. Sekiranya penampilan seseorang penyair boleh melakukannya, maka tiada alasan mengapa penyair tersebut perlu boleh dibayar mahal.
Seseorang penyanyi dibayar mahal setiap kali penampilannya bukan kerana dia penyanyi. Sebaliknya penyanyi dibayar mahal kerana dia terkenal dan mengharapkan penampilannya, tidak kiralah sama ada sebagai pelakon, pengacara atau sekadar tetamu majlis.
Umpamanya, ramai penyanyi dibayar mahal bukan untuk menyanyi, tetapi sebagai pelakon. Sedangkan, sebelum ini penyanyi berkenaan belum lagi diuji kemampuannya berlakon. Tetapi, kerana popular berapa banyak bayaran penerbit sanggup membayarnya.
Laungan ‘aku menulis (juga membaca puisi) bukan kerana nama’ atau ‘hasil sastera bukan barang dagangan’ tidak lagi releven.
No comments:
Post a Comment