Tuesday 22 October 2024

KETOKOHAN IMAM ABU HASAN AL-ASYARI

 
Imam Abu Hasan atau nama sebenarnya Abu al-Ḥasan Ali bin Ismail bin Isḥak al-Ash’ari dilahirkan di Basrah pada 260 Hijrah bersamaan 873/874 Masihi. Beliau lahir semasa era khalifah al-Mutamid dari Bani Abbasiyyah. Bapanya, Ismail bin Ishak telah meninggal ketika usianya masih kecil.
 
Pada peringkat awal, Abu Hasan berfahaman Muktazilah disebabkan pengaruh bapa tirinya, Abu Ali al-Jubai, seorang ulama Muktazilah terkenal. Justeru, tidak hairanlah beliau juga banyak berguru dengan ulama Muktazilah pada ketika itu.
 
Pun begitu, beliau kemudian menolak fahaman Muktazilah dan semua bentuk ajaran ekstrem yang wujud pada ketika itu. Untuk menzahirkan penolakan itu, beliau membuat satu ucapan di mimbar, yang dengan tegas menyatakan fahaman Muktazilah sebagai menyimpang. Lalu, beliau mengisytiharkan keluar daripada Muktazilah dan kembali mendukung ajaran Ahli Sunnah. Ketika itu usianya telah mencecah 40 tahun.
 
Antara ulama yang menjadi guru kepada Abu Hassan adalah Imam Zakaria al-Saji (wafat 307 Hijrah). Zakaria adalah mufti Basrah dan dianggap tokoh ulung dalam ilmu hadis dan merupakan anak murid kepada Imam Ahmad bin Hanbal.
 
Selain Zakaria, Abu Hasan turut berguru dengan Abu Khalaf al-Jahmi, Abu Sahl bin Sarh, Muhammad bin Ya’qub al-Muqri’ dan Abdurrahman bin Khalaf al-Bashri,
 
Ini bermakna guru akidah Abu Hasan bukan setakat bapa tirinya, tetapi juga ulama-ulama lain, terutama Zakaria. Dan sesungguhnya, pengaruh pemikiran Zakaria lebih banyak menguasai dan memberi petunjuk kepada keyakinan Abu Hasan untuk menolak fahaman Muktazilah.
 
Buktinya, Abu Hasan mampu memuatkan banyak hadis yang diriwayatkan daripada gurunya itu di dalam sebahagian karyanya seperti kitab al-Tafsir.
 
Kata Imam Ibn Furak (wafat 406H): "Syeikh Abu al-Hasan al-Asy'ari meriwayatkan daripadanya banyak hadis di dalam kitab al-Tafsir." (lihat: Tabyin Kazib al-Muftari, hlm 35)
 
Antara kitab awal yang beliau karang setelah kembali kepada fahaman Ahli Sunnah ialah kitab al-Luma' dan Kasyf al-Asrar wa Hatk al-Astar. Apabila ulama hadis dan fiqah daripada kalangan Ahli Sunnah membaca semua kitab itu, mereka menerima dan memperakui isi kandungannya.
 
Setelah meyakini ketokohan Abu Hasan, para ulama dan pedukung Ahli Sunnah kemudian memanggilnya sebagai Asy'ariyyah atau Asya'irah, iaitu golongan yang mengikut mazhab Imam al-Asy'ari.
 
Jelasnya, perpindahan Imam al-Asy'ari daripada Muktazilah kepada Ahli Sunnah, bukanlah semata-mata disebabkan ilham atau kebetulan, tetapi pastinya diiringi sebelumnya oleh pengetahuan ilmu naqli dan aqli yang mantap serta pengamatan dan penelitian yang cukup mendalam. Sebagai seorang mutakallim hebat, sudah tentu beliau mampu menguasai semua hujah dan dalil pihak yang berselisihan pendapat.
 
Kecerdasan dan kebijaksanaan akal beliau ini yang membuatkan beliau sentiasa berfikir secara sihat, waras, cermat serta ilmiah. Sebab itu, beliau akhirnya dapat mempersoalkan pegangan akidah Muktazilah bapa tirinya, Abu Ali al-Juba'i.
 
Abu Hasan berusaha membimbing umat Islam untuk keluar daripada elemen ekstrem fahaman-fahaman seperti Syiah, Muktazilah dan Qadariyah. Misalnya, dalam ilmu hadis, Imam Abu Hasan mengarang satu kitab khusus untuk mematahkan semua hujah Muktazilah yang dibawa Ibnu Rawandi terhadap hadis-hadis Rasulullah SAW. Antara kitab yang dikarang beliau ialah Kitab al-Mukhtazin (kitab tafsir al-Quran), al-Ijtihad dan al-Qiyas (kitab fiqh).
 
Abu Hasan banyak menulis dalam usaha mengambangkan ilmu. Begitupun, wujud perselisihan dalam kalangan ulama tentang jumlah sebenar manuskrip yang dihasilkan Imam Abu Hasan.
 
Mengikut al-Sakir, Abu Hasan menghasilkan 90 buah kitab dari pelbagai disiplin ilmu. Tetapi menurut Ibnu Hazm, Ibnu Katsir dan Ibnu Imad al-Hambali, beliau hanya menghasilkan 55 buah manuskrip. Sementara Imam Tajuddin al-Subki pula berpandangan Imam Abu Hasan hanya menghasilkan 21 buah kitab.
 
Berapapun bilangan sebenar manuskrip yang dihasilkan, ketegasan Abu Hasan mempertahankan Ahli Sunnah daripada serangan liar pendukung fahaman seperti Muktazilah dan Syiah amat dikagumi.
 
Imam Abu Hasan kembali ke rahmatullah pada tahun 324 Hijrah bersamaan 935/936 Masihi. Sebelum kembali menghadap Ilahi, beliau memanggil temannya bernama Shamsuddin al-Zahabi di mana beliau bersaksi bahawa beliau tidak pernah mengkafirkan seorang pun umat Islam. Ia juga merupakan wasiat Imam Abu Hasan kepada umat Islam agar tidak saling melabel kafir antara satu sama lain.

No comments:

Post a Comment