Wednesday 20 April 2022

SYAITAN MUDAH MENDEKATI MANUSIA SEDANG MARAH

 
Syaitan dekati manusia ketika sedang marah. Syaitan pernah memberitahu Nabi Musa bagaimana dia mendekati manusia supaya melakukan perbuatan dilarang agama dengan katanya: “Tiga perempat daripada masa yang paling baik untuk aku menggoda manusia ialah sewaktu mereka di dalam keadaan marah, kerana pada masa itu aku boleh memain-mainkan hati mereka seperti sebiji bola.

Di dalam diri syaitan sendiri dipenuhi perasaan marah sepanjang masa terhadap manusia. Syaitan marah dan berdendam kepada manusia apabila Nabi Adam dipilih sebagai khalifah di muka bumi. Syaitan berdengki tidak dipilih kerana merasakan dirinya lebih layak disebabkan asal kejadian lebih mulia daripada api berbanding Adam daripada tanah.

Perasaan marah syaitan mendorong enggan patuh perintah Allah supaya sujud kepada Adam. Akibatnya syaitan terkeluar daripada golongan patuh kepada Allah yang diamalkan sebelumnya. 

Dengan penuh perasaan marah dan dendam, syaitan bersumpah menyesatkan Adam dan seluruh keturunan dengan segala tipu daya sehingga ke hari kiamat agar turut tergolong mereka yang terlepas rahmat Allah. Justeru, cara berkesan dilakukan melalui menyemarakkan api kemarahan dalam diri manusia.

Untuk mengelak diri dikuasai syaitan, elaklah sifat marah. Jika timbul kemarahan bersegeralah memadan dengan kemaafan. Menahan marah daripada merebak membuktikan kekuatan iman dan sabar. 

Kejayaan menahan sabar kekuatan iman sejati. Mukmin sejati menahan diri daripada melakukan apa juga yang ditegah oleh Allah. Kekuatan menahan sabar satu kebajikan yang pastinya ada balasan baik. Firman-Nya bermaksud: “Maka sesiapa yang suka memaafkan dan membuat kebaikan, pahalanya ada pada Tuhan.” (Surah asy-Syura, ayat 40).

Mengelak melakukan keburukan pastinya satu kebajikan. Kejayaan itu ada balasannya. Firman Allah bermaksud: “Dan Kami berikan orang-orang yang sabar itu sebaik-baik balasan terhadap apa yang mereka kerjakan.” (Surah an-Nahl, ayat 96).

Banyak amalan untuk mengawal perasaan marah. Amalan paling berkesan dengan mendampingi diri dengan Allah. Hampirkan diri sujud kepada Allah melakukan apa yang disuruh dan menjauhi apa ditegah. 

Sekiranya berdepan apa yang ditegah, termasuk perasaan marah, segera bermohon keampunan daripada-Nya. Amalkan selalu mengucap ‘astagfirullah halazim’ bermaksud ‘aku bermohon ampun dari-Mu Allah’. Mereka hampir dengan Allah maka syaitan sukar untuk menghampiri.

Firman-Nya bermaksud: “Dan orang-orang yang jika mereka mengerjakan perbuatan keji, ataupun menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Tuhan, lalu memohon ampun kepada-Nya terhadap dosa mereka. Siapa lagi akan mengampuni dosa selain Tuhan? Dan mereka tiada mengulangi lagi perbuatan yang buruk itu, sedangkan mereka mengetahui.” (Surah Ali Imran, ayat 135).

No comments:

Post a Comment