Thursday 14 April 2022

WAKAF HARTA DEKATKAN DIRI KEPADA ALLAH

Antara amalan yang dituntut ialah mewakafkan harta. Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, wakaf bermaksud sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang ramai (sebagai derma), sesuatu yang diberikan atau diuntukkan bagi keperluan dan sebagainya yang berkaitan dagan agama Islam. 

Harta atau sesuatu yang diwakafkan dapat memberi kebaikan kepada sekelompok orang atau orang ramai yang mana dapat digunakan secara berpanjangan untuk tempoh tertentu atau sehingga ia tidak lagi dapat digunakan. 

Di sebalik harta yang memberi manfaat kepada orang ramai, hikmah di sebalik wakaf adalah membuka ruang untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan cara mengalirkan harta di jalan-Nya.

Tiada amalan yang paling disukai seorang mukmin selain amalan yang boleh mendekatkan dirinya dengan Allah SWT dan menjadikan dirinya dikasihi Allah SWT.  

Melalui amalan wakaf seorang Muslim berpeluang menzahirkan pengabdian dan cintanya kepada Allah SWT. Sesungguhnya perasaan cintakan Allah SWT hanya dapat dizahirkan melalui amalan dan pelaksanaan.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan mencapai kebaikan (yang sempurna) sehingga kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi.” (Surah Ali Imran, ayat 92)  

Wakaf juga dapat menunaikan impian seorang mukmin untuk melihat kebajikannya sentiasa berterusan walaupun selepas kematiannya dan ganjaran pahala sentiasa diperoleh  selepas meninggal dunia. 

Harta wakaf memberi pahala berkekalan biarpun selepas meninggal dunia selagi harta itu memberi manfaat kepada orang lain.   

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Apabila seorang manusia mati segala amalannya akan terputus kecuali daripada tiga sumber; sedekah jariah atau ilmu yang boleh dimanfaatkan atau anak salih yang mendoakannya. (Hadis riwayat Muslim)

Melalui wakaf akan tercapai kepentingan Islam. Sekiranya harta wakaf ini diuruskan dengan baik ia boleh menjadi aset yang baik untuk mencapai kepentingan masyarakat Islam seperti membina masjid, sekolah, menghidupkan ilmu, syiar Islam seperti azan, kepimpinan Islam dan sebagainya.  

Akhirnya, wakaf dapat memenuhi keperluan fakir miskin, anak yatim dan ibnu sabil yang tidak dapat mencari rezeki kerana keadaan tertentu. Harta wakaf ini boleh memenuhi keperluan dan mengurangkan kesengsaraan mereka.  

Sesiapa yang melakukan amalan wakafnya akan menjadi dekat dengan Allah. Akan tercapai impiannya dalam menzahirkan pengabdian dan cintanya kepada Allah. Dia akan beroleh ganjaran yang berterusan walaupun dia meninggal dunia.

Melalui amalan wakaf, kepentingan Islam tercapai dan memenuhi keperluan fakir miskin, anak yatim dan ibnu sabil.

No comments:

Post a Comment