Saturday, 30 July 2022

MAT KELANTAN TOKOH KEMERDEKAAN

 
Pahlawan Mat Kelantan adalah gelaran kepada Muhammad Bin Saman atau Mat Saman Bin Sulaiman. Beliau juga digelar Tok Kangkung Kayu Keramat. Muhammad merupakan salah seorang tokoh pahlawan kemerdekaan dan seangkatan dengan Tok Gajah, Mat Kilau, Dato Bahaman, Tok Janggut dan lainnya.

Mat Kelantan dilahirkan di Kampung Kangkong, Pasir Mas, Kelantan.

Mengikut rekod, beliau dilahirkan sekitar tahun 1860. Ini kerana pada 1880 ketika berlakunya peristiwa angin besar, dikatakan umurnya sudah mencapai lingkungan 20 tahun.

Beliau mendapat pendidikan agama dengan berguru kepada Tuan Guru Haji Daud Surau Besar, Kota Bharu, Tuan Guru Haji Abdul Malek Sungai Pinang, Tumpat dan Tok Kenali. Dengan Tok Kenali beliau pernah berkata mempelajari ilmu nukil, ilmu maarifah, ilmu hakikat dan ilmu risik.

Mat Kelantan dikatakan adalah guru kepada Mat Kilau dan beliau juga yang mengesahkan kebenaran Mat Kilau selepas kemunculan dan perinsytiharan Mat Kilau pada tahun 1969 atas jemputan khas Kerajaan Pahang.

Beliau adalah salah seorang daripada tiga orang rakan seperjuangan Mat Kilau yang pernah ikut berjuang bersamanya dahulu yang masih hidup pada tahun tersebut.

Selain beliau, Raja Ibrahim Bin Tan Kechik atau gelarannya Pak Yim yang juga dari Kelantan yang dilaporkan berusia 120 tahun dan Mek Munah Binti Salleh dari Terengganu yang dilaporkan berusia 97 tahun pada ketika itu.

Mereka berempat telah dipertemukan di Dewan Pusat Latihan Pertanian di Kuantan, Pahang, pada tahun 1969 dengan diusung oleh saudara mara kerana ketiga-tiga mereka telah uzur.

Dalam pertemuan tersebut, mereka berempat saling mengenali dan menangisi antara satu sama lain kerana mereka terlalu gembira dapat dipertemukan dengan sahabat-sahabat seperjuangan yang telah terpisah selama tiga suku abad. Peristiwa bersejarah tersebut turut disaksikan lebih 1,000 orang ramai yang berhimpun di dewan tersebut.

Menurut satu catatan pertubuhan silat, Mat Kilau pernah berguru ilmu kebatinan dengan Mat Kelantan dan mereka pernah berkerjasama semasa perang di Tembeling yang mana kemenangan berada di pihak mereka walaupun mempunyai jumlah yang lebih kecil berbanding British.

Sejarah Mat Kelantan hingga kini masih misteri. Tahun meninggalnya juga tidak dapat diketahui namun makamnya terletak di Bukit Jawa, Pasir Puteh, Kelantan.

Sumber - Wan Amir, Nik Iznan Musyahmi dan maklumat awam

No comments:

Post a Comment