Friday, 5 August 2022

CARA HIKING DI PULAU RENJUNA

 
Pulau Renjuna di delta Sungai Kelantan terkenal dengan Pasar Terapung Sri Tanjung. Pengunjung akan bersantai di situ sambil makan dan minum. Selepas itu pengunjung akan pulang selepas berada di pasat terapung yang semakin terkenal itu seketika.

Sebenarnya, pengunjung ke Pulau Renjuna berpeluang untuk meneroka keindahan pulau dengan melakukan hiking di sekitar kawasan pulau. Laluan untuk hiking adalah atas simen konkrit yang dijadikan laluan berjalan kaki dan motosikal untuk penduduk bergerak dari satu tempat ke satu tempat di kawasan pulau berkenaan.

Jika anda mengunjungi Pasar Terapung Sri Tanjung, boleh mulakan dari situ menuju ke Masjid Mukim Teluk Tenjuna. Jaraknya kira-kira dua kilometer. Pergi balik menjadi empat kilometer.

Sepanjang kembara berjalan kaki, ada berpeluang menikmati suasana perkampungan di pulau. Tiada kereta atau kenderaan besar diletakkan di depan rumah. Sebaliknya, dalam jarak kira-kira 30 hingga 100 meter dari rumah masing-masing akan ada jeti bot masing-masing yang diletakkan atau diikat di antara pokok nipah dan pokok bebaru.

Ada rumah yang kedudukan atau jarak dengan laluan simen itu ada yang sangat dekat. Anda akan disapa oleh penghuninya yang berada di beranda. Penduduk pulau biasanya kenal bahawa anda pengunjung pulau tersebut, bukan penduduk di situ.

Dilaluan tersebut ada penduduk yang menternak lembu dan kambing. Ada juga kera yang digunakan untuk memanjat kelapa sedang berehat. Kera itu jinak, tetapi jangan dekati terlalu rapat.

Satu pemandangan yang pasti paling ketara dapat dilihat ialah pokok kelapa yang menjulang tinggi. Umur rata-rata pokok kelapa itu telah melebihi 50 tahun.

Sampai di Masjid Mukim Teluk Renjuna, boleh berehati di situ seketika atau terus ke hadapan sedikit sampai ke tebing sungai. Ada kedai menjual minuman di situ. Sambil minum, boleh juga melihat pemandangan sungai yang kerap dilalui bot membawa penumpang.

Setelah sampai atau berada di situ anda boleh membuat pilihan sama ada ingin kembali ke Pasar Terapung Sri Tanjung melalui laluan sama ketika datang tadi atau beberapa pilihan lain.

Pertama anda boleh meneruskan kembara berjalan kaki ke Pulau Beluru, Pulau Seratus, Pulau Haji Nik Mat dan Pulau Suri. Anda boleh bertanya dengan penduduk di situ untuk tunjukkan arah.

Kedua, anda boleh mengambil bot di berhampiran dengan masjid untuk sama ada kembali ke Pasar Terapung Sri Tanjung, atau terus ke Jeti Kuala Besar atau Jeti Kok Majid untuk terus pulang.







No comments:

Post a Comment