Budaya kena kecam atau mengecam di media
sosial diibaratkan sebagai 'toksik dalam talian' yang sarat dengan mesej
kebencian sehingga boleh menjatuhkan seseorang.
Amalan kecam mengecam bertali arus melibatkan semua peringkat kedudukan dan
profesion. Ahli politik, artis, selabriti sehinggalah penjual di kaki lima
tidak terlepas menjadi mangsa kecaman di media sosial.
Budaya itu menjadi suatu fenomena yang
muncul seperti 'tsunami' sehingga sukar bagi pihak yang menjadi mangsa kecaman
untuk menepis kecaman yang tular di media sosial. Tidak tahan dengan kecaman,
penghinaan dan tuduhan melampau sehingga yang dikecam terpaksa menutup akaun
media sosial mereka.
Budaya itu merupakan cabaran yang melanda generasi muda ketika ini, dan ia
umpama bom jangka yang akan meletus pada bila-bila masa sahaja sekiranya tiada
sebarang tindakan diambil pihak bertanggungjawab, terutama ibu bapa.
Namun, tidak kurang juga orang dewasa yang sudah ada kedudukan dalam politik
mahupun profesion lain yang turut terjebak menjadi pengecam dan melakukan
tuduhan liar terhadap orang lain.
Sudah tiba masanya kita wujudkan 'ruang selamat dalam talian' kerana sekarang
ini terlalu banyak mesej negatif di media sosial. Kita sudah tidak memikirkan
perasaan orang lain. Apa sahaja keadaan, objek atau peristiwa dijadikan bahan
untuk mengecam seseorang atau pihak lain.
Ada orang tidak kisah kena kecam di media. Mungkin kerana sudah biasa dan lali
dikecam sehingga tidak rasa apa-apa lagi bila dikecam. Malah, dianggap kecaman
itu membawa nilai positif kepada dirinya. Jadi, katalah apa hendak dikata atau
hendak disebarkan di media sosial, dia tidak kisah.
Mungkin juga dia jenis orang yang sudah ada jati diri dan tahu apa yang dibuat
adalah tindakan betul. Jadi, dia tidak kisah dikecam, bahkan semakin membara
semangat untuk melakukan sesuatu yang dikecam itu.
Namun, tidak semua orang mampu begitu. Apabila dikecam saja terus bersedih dan
hilang arah. Perkara baik ingin dilakukan terus terbantut apabila dikecam. Pihak
yang mengecam ambil kesempatan untuk meruntuhkan semangat.
Gambar: Sekadar hiasan
No comments:
Post a Comment