Wednesday 21 August 2024

EMPANGAN NENGGIRI TINGKATKAN SOSIOEKONOMI SETEMPAT

 
Pembinaan Empangan Nenggiri di Gua Musang yang bermula pada 1 Mac 2022 dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan 2027.
 
Projek berkenaan akan membentuk kawasan tasik seluas lebih kurang seluas 53.84 kilometer persegi dan kolam pengatur aliran seluas 0.97 kilometer persegi yang mampu menebat banjir dan memberi manfaat perbekalan air bersih serta tambah baik pengairan untuk pertanian.
 
Pembinaan Empangan Nenggiri akan memberi impak yang besar kepada Kelantan dalam membekalkan sumber tenaga konsisten dan mencukupi untuk rakyat pada masa hadapan.
 
Pembinaan empangan hidroelektrik itu akan memberi kesan positif kepada sektor pelancongan negeri kerana penenggelaman 14 gua di kawasan itu.
 
Kerja ekskavasi di gua-gua berkenaan sedang dijalankan dan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan membina sebuah mini galeri di Gua Musang bagi mengumpulkan semua hasil itu.
 
Projek ini juga boleh menjadi satu tarikan pelancongan kepada Gua Musang apabila sebuah tasik besar akan diwujudkan seperti Tasik Banding di Gerik, Perak dan Tasik Kenyir di Terengganu.
 
Projek itu juga akan menjadikan Gua Musang sebagai sebuah pusat pelancongan sekali gus akan membawa ledakan ekonomi kepada Kelantan.
 
Projek Nenggiri dijangka menenggelamkan beberapa penempatan Orang Asli termasuk Pos Tohoi, Pos Pulat dan Kampung Kuala Wias. Justeru sesi libat urus Orang Asli melibatkan perpindahan ke petempatan baharu perlu dilakukan yang melibatkan lebih 1,200 orang penduduk daripada 245 keluarga.
 
Petempatan baharu itu dibahagikan kepada dua plot iaitu Plot A dan Plot B yang turut dilengkapi dengan sekolah dan kemudahan asas lain. Pada masa ini, penduduk Orang Asli yang terbabit masih lagi berada di kampung mereka dan dijangkakan pertengahan 2026 penduduk akan dipindahkan ke penempatan baharu.
 
Petempatan di Plot A membabitkan mereka yang berasal dari Pos Pulat dan Kampung Kuala Wias dengan keluasan 291 hektar membabitkan 84 keluarga.
 
Manakala bagi Plot B, dengan keluasan 541 hektar, ia membabitkan 161 keluarga dari Pos Tohoi.
 
Projek Hidroelektrik Nenggiri yang bernilai RM5 billion dilaksanakan TNB melalui anak syarikat milik penuhnya, TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) yang bakal menjana 300MW apabila beroperasi nanti.
 
Projek Hidroelektrik Nenggiri adalah projek untuk menjana tenaga elektrik melalui tenaga air dan hidro yang mana TNB melaksanakan projek ini sebahagian daripada strategi kerajaan untuk mempertingkatkan penjanaan tenaga dari Tenaga Boleh Baharu (TBB) kepada 40 peratus daripada keseluruhan sumber penjanaan menjelang 2035.
 
Penjanaan daripada sumber hidro juga akan membantu mengurangkan sejumlah 0.3 tan pelepasan karbon setahun, bersamaan pengeluaran asap daripada 70,000 kereta.
 
Projek tersebut bukan sahaja akan memberikan impak sosioekonomi yang positif kepada negeri Kelantan seperti menjana ekonomi setempat bagi industri pelancongan, perikanan dan pertanian, tetapi juga inisiatif untuk menangani masalah banjir yang kerap dihadapi oleh negeri tersebut.
 
Takungan ini akan membantu mengurangkan dengan ketara banjir buruk di Kelantan kerana turut berfungsi sebagai kawasan tadahan dan kawalan air apabila jumlah air tasik dikurangkan untuk menampung air hujan pada musim tengkujuh.
 
Projek Nenggiri dilihat membantu memperluaskan peranan penjanaan tenaga boleh baharu, terutama daripada hidro, antara sumber yang paling banyak tersedia di Malaysia serta mengambil kira manfaat menyeluruh yang diperoleh daripadanya.
 
Projek hidroelektrik memberi manfaat ekonomi kepada negara, walaupun kos pembinaan tinggi, pulangan jangka panjangnya berbaloi dengan manfaat yang diperoleh.
 
Sebanyak 250 peluang pekerjaan akan dibuka kepada warga tempatan dan juga masyarakat Orang Asli apabila ia beroperasi. Peluang pekerjaan itu disediakan bertujuan untuk membantu mengoperasikan stesen tersebut dan antaranya merangkumi dalam bidang kejuruteraan, pengurusan, juruteknik, pekerja separuh mahir dan juga mahir.

No comments:

Post a Comment