Zaman dahulu, pakaian orang Melayu Kelantan
dewasa pada hari raya pertama untuk ke masjid solat sunat Aidilfitri, paling
popular baju melayu telok belanga, kain pelikat dan semutar atau songkok, yang
sudah pergi haji pakai kopiah putih.
Golongan elit selalunya memakai baju kot,
kain pelikat, tali pinggang besar warna hijau, songkok atau kopiah dengan
lilitan serban dan sehelai lagi serban di letak di atas bahu. Baju kot warna
putih atau putih susu, selepas pakai hantar dobi. Sekali pandang macam Kyai
Nahdatul Ulama. Mungkin tempias dari seberang. Baju Melayu lengkap bersamping
hanya dipakai golongan bangsawan dan di bandar.
Manakala seluar bellbottom pula menjadi
kegilaan remaja. Bahagian pinggangnya ketat, kakinya besar dan labuh. Kalau tak
berhati-hati, berjalan boleh terserek tahi ayam muna yang berceretet di laman
rumah.
Fesyen bellbotoon ini katanya tiru seluar
tentera laut Amerika, yang direka sedemikian rupa bertujuan mudah dilipat untuk
mengharungi air. Pakai seluar bellbotoom rambut mesti berjambul, siapa panjang
jambul akan mendapat perhatian ramai. Macam lagak A. Mahmud karya Allahyarham
A. Fattah. Naik skuter rambut tak patah. Bukan mudah mahu membentuk jambul,
mesti guna minyak rambut yang pekat dengan mencampurkan sedikit kapur sireh,
barulah terpacak tak termakan godaan angin.
Pakaian wanita juga ada bellbottom. Tetapi
sebelum datang bellbotoom lagi teruk, macam bungkus nangka. Fesyen kipas
namanya. Berjalan pun gedek-gedek. Manakala yang sudah berumur, pakai baju
kebaya, dengan menutup rambut tetapi nampak jambul. Tudung yang dipakai hari
ini bermula penghujung tahun 1970-an setelah angin dakwah memasuki kampung dan
bandar seluruh negara.
Tulisan dan gambar oleh: Rossem
No comments:
Post a Comment