Friday, 18 June 2021

MENGAPA BANGGA DIGELAR WALAUN

Di kalangan orang awam, perkataan ‘walaun’ tidak banyak yang memahami maksudnya. Carian perkataan ‘walaun’ di Kamus Dewan dalam talian tidak menemui maksud atau definisi perkataan itu. Dengan kata lain, perkataan ‘walaun’ bukan perkataan yang biasa digunakan dalam bahasa Malaysia.

Namun, perkataan ‘walaun’ cukup banyak digunakan di media maya, terutama apabila bercakap mengenai politik.

Walaun adalah istilah yang digunakan untuk melebelkan penyokong tegar Pas oleh pihak yang menyerang parti itu.

Golongan walaun didakwa sebagai kumpulan yang bersama dengan Pas atas dasar memperjuangkan Islam, tetapi bila memberi komen dan meraikan perbezaan pendapat di media maya, tidak menunjukkan akhlak Islam.

Namun, di kalangan walaun, mereka tidak peduli dengan apa yang dilabelkan kepada mereka. Apa yang penting ialah wala atau taat setia kepada kepimpinan parti.

Pada mereka, adalah lebih baik menjadi ‘walaun’ daripada bergelar ‘malaun’ yang membuat onar dalam jemaah.

Golongan digelar walaun dilihat sebagai ahli yang mempunyai tahap ketaatan dan wala tinggi kepada setiap arahan dikeluarkan pimpinan.

Disebabkan itu, walaun tidak berkecil hati digelar dengan gelaran tersebut walaupun konotasi bagi yang menggelarkan dengan maksud yang buruk atau ketaatan membabi buta.

Bahkan mereka dengan bangga menerima gelaran tersebut. Mari kita fahami catatan seorang yang mencatatkan nama Alang Ibn Shukrimun di media sosial.

Di sini disalin dan tampal catatan itu.

AKU WALAUN

Mereka melabel orang-orang Pas yang masih istiqamah dengan perjuangan sebagai walaun. Kononnya ahli Pas telah tercandu dengan wala sehingga sanggup bermatian demi gerakan tercinta ini.

Sebaliknya mereka menggambarkan tindakan berani keluar jemaah adalah tindakan terpuji. Melawan jemaah lama pula dianggap sebuah kebijaksanaan.

Mereka mempermainkan istilah wala yang sebenarnya menjadi prinsip Islam. Wala adalah tuntutan Allah dari al-Quran. Ia juga terkandung dalam hadis-hadis Nabi. Bahkan ulama Islam membicarakan tajuk wala zaman berzaman. Ia salah satu dari signature agama Islam.

Melabel ahli Pas dengan gelaran walaun tidak membuatkan imej Pas tercalar. Bahkan imej mereka yang merudum akibat mempermainkan ajaran Islam. Orang Islam yang sebenar tidak tergamak menggunakan istilah agama sebagai bahan sendaan.

Ahli Pas tidak perlu bersedih dilabel walaun sebaliknya perlu berbangga dengannya. Mereka telah mengiktiraf kita sebenarnya berpegang teguh dengan prinsip agama. Semoga kita bertemu tuhan terus dengan gelaran ini.

Dari sudut yang lain, mereka dahulu keluar Pas sebab dilabel macam-macam oleh orang Pas. Kata mereka budaya melabel bukan budaya sihat. Tapi nyata hanya lidah sahaja yang manis. Teori sendiri pun tak mampu dipatuhi.

Dengan bangganya diisytiharkan, aku walaun!

No comments:

Post a Comment