Tuesday, 6 June 2023

CARA TANAM POKOK RUMBIA

 
Pokok rumbia (Metroxylon sagu) sejenis pokok palma yang tumbuh liar di kawasan lembap. Ia kini mempunyai nilai ekonomi. Penanaman rumbia untuk tujuan penghasilan sagu secara besar-besaran telah dilakukan. Sarawak pengeluar sagu terbesar di Malaysia.

Sagu yang dihasilkan daripada batang rumbia mempunyai potensi yang semakin tinggi dalam industri makanan dan ubat-ubatan. Tepung sagu rumbia boleh digunakan untuk memproses serbuk perasa (MSG), sirap glukosa, alkohol, makanan bayi, gum gula-gula, tekstil, kertas, pelekat, gam, bahan pembeku, plastik dan lain-lain. 
 
Tempoh matang pokok sagu bergantung kepada kesuburan tanah. Lazimnya secara purata tanaman pokok rumbia boleh dituai apabila telah menjangkau umur 12-13 tahun di tanah mineral dan 15-18 tahun di tanah gambut. 
 
Pokok rumbia matang yang ditebang perlu diproses secepat mungkin bagi mengelakkan kemerosotan kandungan kanji di mana biasanya tidak melebihi 2 hari selepas ditebang. 

Pokok rumbia mempunyai batang yang bersaiz besar dan tegap dengan tumbuh menegak sehingga mencapai ketinggian antara 10–12 meter. Batangnya dilihat mempunyai isi yang lembut dan mengandungi kandungan kanji yang tinggi.
 
Pokok rumbia mengeluarkan jambak bunga yang menghasilkan banyak bunga jenis dwiseks dan kemudian akan mengeluarkan biji-biji sagu. 

Bunga rumbia adalah jenis ‘protandrous’ di mana bunga jantan akan menjadi matang dahulu daripada bunga betina. Ini bagi memastikan pendebungaan kacuk akan berlaku. Musim berbunga akan mengambil masa dua tahun. Selepas menghasilkan buah dan menjadi matang, pokok rumbia akan mati. 
 
Secara tradisional bahan tanaman yang digunakan ialah sulur. Sulur rumbia yang disemai dan dijadikan anak benih perlu diambil daripada pokok induk. Kerja untuk mendapatkan sulur, penyediaan tapak semaian dan pemilihan sulur yang berkualiti perlu dilakukan dengan teliti.  
 
Tapak semaian sulur memerlukan kolam atau sungai untuk pembesaran sulur, sebelum dipilih dan dipindahkan ke tapak kekal. 
Proses ini biasanya mengambil masa kira-kira 12 bulan sebelum sulur dipindahkan ke tapak kekal. Kaedah ini mempunyai kelemahan kerana kejayaan sekitar 60 peratus sahaja. 

Kaedah lain untuk mendapat anak rumbia ialah penggunaan biji benih. Pemilihan biji rumbia untuk dijadikan benih yang berkualiti diberi keutamaan bagi memastikan peratus percambahan yang tinggi.

Buah rumbia yang hendak dijadikan biji benih mestilah dipilih daripada pokok induk yang matang. Teknik mengait tandan buah dengan galah atau mengutip buah matang yang gugur lebih digalakkan untuk kerja mengumpul buah rumbia, berbanding cara menebang pokok.
 
Buah rumbia hendaklah dipilih dengan mencucuk paku ke dalam buah. Amalan demikian dilakukan untuk mengetahui keadaan biji di dalamnya. Biji yang keras lebih baik sebagai biji benih.
 
Sebelum disemai, buah tersebut hendaklah dijemur di bawah cahaya matahari untuk menanggalkan kulit luarnya. Teknik penjemuran ini dibuat dengan meletakkan buah tersebut di atas tanah atau di atas lapisan habuk sabut kelapa.
 
Batang rumbia juga digunakan sebagai bahan makanan itik. Itik makan batang rumbia cepat membesar dan penghasilan telur yang lebih banyak dan berkualiti. Batang sagu dipotong kira-kira panjang satu meter dan dibelah dua. Itik akan menyudu batang sagu itu sedikit demi sedikit.

Gambar atas - sulur pokok sagu

Buah sagu

No comments:

Post a Comment