Sunday, 6 October 2024

NEGARA ISLAM PERLU PERKUATKAN KETENTERAAN

 
Kita mahu membina dunia yang aman daripada peperangan tetapi sunnah Allah menetapkan sentiasa ada golongan yang bernafsu binatang membunuh manusia. Justeru jihad peperangan disyariatkan dalam Islam bagi mempertahankan kemanusiaan.
 
Kekuatan persenjataan negara-negara Islam perlu diperlengkapkan bagi menggerunkan musuh sebagaimana diajar oleh Allah menerusi surah al-Anfal: 60.
 
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” (Surah al-Anfal, ayat 60)
 
Wajib pertahan negara Islam untuk memastikan kuasa kekal dalam pemerintahan pemimpin Islam. Negara Islam ditakrifkan kebanyakan ulama meletakkan syarat pemimpin tertingginya di kalangan orang Islam, kedaulatan diperakui negara lain, ajaran Islam dapat diamalkan dengan aman dan hukum dilaksanakan berdasarkan syariat Islam. 
 
Orang Islam wajib mempertahankan negara Islam dan jika ia telah ditawan oleh bukan Islam maka wajib negara Islam dibebaskan dan kembali ditegakkan sebagai negara Islam. Dalam hal ini, negara-negara Islam mesti bersatu membebaskan negara Islam lain yang dikuasai oleh kuasa asing. 
 
Inilah yang sepatutnya dilakukan di kalangan negara Islam dalam usaha untuk membebaskan Palestin daripada kuasa penjajah.
 
Kekuatan dan teknoloji persenjataan yang ada pada negara-negara Islam sewajarnya digembeleng bagi maslahah melindungi Islam dan umatnya. Kerjasama dengan negara besar yang mencabar kuasa besar lain perlu dilakukan dari semasa ke semasa.
 
Negara Islam yang kaya dan berkuasa dalam menentukan ekonomi dunia, khususnya hasil petrolium perlu bersatu mencaturkan sesuatu bagi memastikan nasib umat Islam seluruh dunia terbela dan tidak menjadi “budak” belasahan.

No comments:

Post a Comment