Selepas
mengaku bersalah terhadap pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan
Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam laman sosial Facebooknya,
awal Mac lalu berhubung kemelut politik negara, seorang penganggur didenda RM6,0000
oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Pesalah
membayar denda tersebut yang sekaligus dia terlepas hukuman penjara tiga bulan,
jika gagal membayar denda.
Hakim
Edwin dalam penghakimannya berkata, mahkamah memandang serius gejala penghinaan
seperti itu dan menyatakan kebebasan bersuara untuk menyuarakan sesuatu
pendapat haruslah berpatutan dengan menggunakan bahasa, adab dan susila yang
betul.
“Sungguhpun
Perlembagaan Persekutuan kita memberikan kebebasan bersuara kepada rakyatnya,
kebebasan bersuara ini adalah tidak mutlak. Kebebasan bersuara yang termaktub
dalam Perlembagaan Persekutuan tidak merangkumi kebebasan untuk menghina dan
menganiaya seseorang.
“Dalam
kes ini, yang dihina adalah tonggak pemerintahan negara kita. Adalah jelas
bahawa bahasa yang digunakan dalam hantaran yang dibuat OKS (Orang Kena Saman)
adalah kesat, kasar dan jelik dengan niat untuk menjatuhkan martabat dan
menghina tonggak pemerintahan negara kita,” katanya.
Edwin
berkata, dalam membuat penilaian terhadap hukuman yang sesuai terhadap OKS,
mahkamah juga mengambil kira faktor mitigasi yang berpihak kepada OKS iaitu ini
kesalahan pertamanya dan pengakuan salahnya menjimatkan masa dan kos.
“Saya
juga mengambil kira keadaan sosio ekonomi keluarga dalam tanggungan tertuduh.
Ini adalah faktor-faktor yang saya ambil kira dalam tidak menjatuhkan satu
hukuman berbentuk pemenjaraan terhadap OKS. Saya juga mengambil kira kekesalan
dan permohonan maaf oleh OKS,” katanya.
Selain
itu, Edwin berkata, dalam mengambil kira faktor pemberatan dalam hukumannya,
beliau setuju dengan hujahan timbalan pendakwa raya yang bijaksana bahawa
kepentingan awam dalam kes ini harus diberi keutamaan.
“Hukuman
yang dijatuhkan perlu mengambil kira kepentingan awam dalam menegah orang lain
daripada melakukan kesalahan yang sama. Hukuman juga perlu memberi pengajaran
kepada OKS dan orang lain yang berkemungkinan akan terjebak dengan kesalahan
yang sama,” katanya.
13
Mac 2020, OKS mengaku bersalah atas pertuduhan secara sedar membuat dan memulakan
penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya itu menggunakan laman profil
Facebook “SAM OOI” dengan niat untuk menganiayai orang lain, pada 7.39 pagi, 1
Mac lalu.
Kenyataan
itu dibaca dalam laman profil Facebook “Hanya di Kelate” di pejabat Jabatan Siasatan
Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat
Polis Bukit Aman tingkat 27 Menara KPJ, pada 8.20 pagi, 2 Mac lalu.
Pertuduhan
dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan
boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman
denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya
dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu
diteruskan selepas pensabitan.
No comments:
Post a Comment